Seorang pemandu e-hailing wanita cedera selepas dipercayai diserang sekumpulan remaja termasuk dua remaja perempuan berusia 14 tahun dalam kejadian di Kuala Sungai Baru, di sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 14 Mei lalu, mangsa berusia 41 tahun mengalami lebam dan bengkak di kepala, badan, kaki serta tangan selain kesan jerutan di leher selepas diserang tiga daripada empat suspek.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, mangsa sebelum itu mengambil empat penumpang di kawasan Bukit Rambai untuk dihantar ke Pekan Kuala Sungai Baru menerusi tempahan aplikasi Grab.
Menurutnya, penumpang terbabit terdiri daripada dua remaja perempuan berusia 14 tahun serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 17 tahun.
“Kesemua suspek mahu ke Pekan Kuala Sungai Baru dan membuat tempahan perjalanan melalui aplikasi Grab sehingga tiba di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru.
“Salah seorang remaja berkenaan kemudian meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu mencari seseorang kerana tiada wang untuk membuat bayaran secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, beberapa minit kemudian tiga daripada empat suspek kembali ke kereta sebelum bertindak agresif menyerang mangsa menggunakan objek keras.
“Suspek perempuan dipercayai bertindak memukul mangsa menggunakan batang besi manakala suspek pelajar sekolah menarik rambut mangsa sementara remaja lelaki berusia 17 tahun menjerut leher pengadu dari belakang.
“Seorang lagi suspek lelaki berusia 15 tahun melarikan diri jauh daripada tempat kejadian dan tidak masuk ke dalam kereta,” katanya lagi.
Artikel lain: Polis Dedah ‘Taktik’ Suspek Kasari Isteri, 9 Kali Kahwin Sasar Penjawat Awam
Menurut Ahmad, mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan memandu keluar dari lokasi kejadian sebelum membuat laporan polis.
“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami bengkak dan lebam di beberapa bahagian badan selain kesan jerutan pada leher.
“Susulan itu, pihak polis berjaya menangkap kesemua remaja berkenaan pada petang 14 Mei lalu dan direman sehingga esok sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,”ujar beliau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah atau pegawai penyiasat, Sarjan Harith Francis Nuang Anak Agan.
“Ibu bapa dinasihati sentiasa memantau pergerakan anak-anak remaja agar tidak terlibat dalam gejala tidak sihat yang boleh merosakkan masa depan mereka,” tegasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































