Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim meluahkan kebimbangan terhadap skandal penyelewengan dana zakat bernilai kira-kira RM230 juta yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Bimbang skandal penyelewengan dana
Memetik laporan daripada Harian Metro, beliau menyatakan kes tersebut membabitkan penahanan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi NGO serta penyitaan pelbagai aset mewah dan pembekuan puluhan akaun bank.
“Bila berita seperti ini muncul, soalan paling besar bukan sekadar siapa bersalah tetapi bagaimana wang zakat boleh `dilaburkan’ hingga bercampur dengan kepentingan peribadi ?,” ujar kesal beliau.
Cermin kerosakan integriti
Menurut Jais, pendedahan ini bukan sekadar isu terpencil sebaliknya mencerminkan kerosakan integriti yang serius dalam institusi yang menguruskan dana amanah umat Islam.
“Kes membabitkan penyitaan kenderaan mewah dan pembekuan akaun bernilai ratusan juta ringgit itu disifatkan bukan sekadar `terlepas pandang’ sebaliknya petanda wujudnya kerosakan integriti yang serius dalam institusi agama.
“Ini bukan sekadar isu teknikal !. Tindakan `melaburkan’ dana suci asnaf sehingga bercampur aduk dengan kepentingan peribadi adalah satu pencabulan amanah yang berat.
“Persoalan utama yang timbul adalah bagaimana sistem sedia ada membenarkan perpindahan dana sebesar itu berlaku tanpa kawalan ketat ?,’ katanya lagi.
Perlu nilai semula pengurusan dana
Beliau turut menegaskan keperluan untuk menilai semula sistem pengurusan dana agar tidak wujud ruang manipulasi yang berulang.
“MCW meletakkan tiga kemungkinan punca utama berlakunya skandal ini iaitu membabitkan kelemahan sistemik. Wujud ruang dalam sistem yang membolehkan dana dipindahkan tanpa pemantauan rapi.
“Selain itu wujud budaya permisif iaitu sikap membiarkan pelanggaran kecil sehingga menjadi besar.
“Berlaku juga normalisasi penyalahgunaan kuasa membabitkan indakan memanipulasi dana atas nama agama secara sistematik,” katanya.
Dalam pada itu, Jais berkata masyarakat kini menuntut penjelasan menyeluruh daripada pihak berwajib termasuk SPRM, kementerian berkaitan dan agensi zakat.
“MCW menegaskan bahawa kenyataan bersifat defensif tidak lagi memadai untuk memulihkan kepercayaan awam.
“Jika dana kebajikan asnaf pun boleh dimanipulasi, apa lagi yang benar-benar selamat dalam sistem kita hari ini?” tegas kenyataan itu lagi.
MCW turut memberi amaran bahawa kegagalan memperbaiki sistem akan membawa kepada krisis kepercayaan yang lebih besar terhadap institusi agama, memandangkan zakat adalah amanah suci yang perlu dijaga dengan penuh integriti.
Difahamkan, SPRM masih meneruskan siasatan dengan turut membekukan 33 akaun bank bernilai kira-kira RM120 juta bagi membantu siasatan lanjut.
Sumber: Harian Metro (Mohd Jamilul Anbia Md Denin)






































