Seorang lelaki tidak menyangka kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Bandar Seri Cendana, pada Selasa, meragut nyawa bapanya sendiri.
Mangsa, Wan Mohd Shamsury Wan Mohd Samsudin, 48, dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Butterworth selepas keluar dari rumahnya di Bandar Seri Astana sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 8.40 pagi.
Anak mangsa, Wan Muhammad Shah Danial, 25, berkata dia terkejut apabila mengetahui tragedi yang selama ini hanya dibaca menerusi laporan berita turut menimpa keluarganya.
“Selama ini duk tengok berita RXZ…tentang orang lain yang kemalangan tetapi hari ini berlaku pada abah sendiri, terkejut sangat,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Sementara itu, rakan mangsa, Muhammad Azri Amir, 33, berkata dia masih sukar menerima pemergian arwah selepas kali terakhir berbual menerusi aplikasi WhatsApp pada malam sebelum kejadian.
“Arwah seorang yang disenangi ramai, jarang bercakap tetapi sentiasa tersenyum. Kenangan ‘ride’ bersama tetap dalam ingatan.
“Ke mana-mana ‘ride’ arwah sering membawa isteri dan begitu juga saya, membuatkan kami rapat. Pagi ini bila dapat tahu kejadian ini, terkejut sangat,” katanya.
Isteri mangsa yang berada di HSAH dilihat sugul dan masih terkejut dengan pemergian suaminya.
Difahamkan, pasangan berkenaan keluar dari rumah pada waktu hampir sama sebelum isteri memandu kereta manakala mangsa menunggang motosikal beberapa minit kemudian.
Namun, sebaik tiba di Tikam Batu untuk memulakan tugas, isteri mangsa menerima panggilan memaklumkan suaminya maut dalam kemalangan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah Taman Sejati membelok ke kanan menuju Bandar Seri Cendana dan memasuki laluan motosikal yang bergerak lurus dari arah Bandar Perdana ke Taman Sejati.
Menurutnya, motosikal ditunggang mangsa kemudian melanggar bahagian sisi kiri kereta berkenaan sebelum mangsa terjatuh di atas jalan raya.
“Mangsa terjatuh di atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat dihantar ke HSAH manakala pemandu kereta turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,”ujar beliau.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang dipercayai melanggar lampu isyarat sebelum memasuki simpang sehingga menyebabkan pelanggaran berlaku.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.











































