Seorang lelaki dikenali sebagai Rozaizar tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas tindakannya memaki hamun anggota bomba dalam satu video tular di media sosial baru-baru ini.
Menerusi video berdurasi satu minit empat saat, individu berkenaan memaklumkan bahawa tindakannya ketika kejadian berlaku dalam keadaan emosi yang tidak stabil selepas berdepan insiden kebakaran yang memusnahkan penempatan mereka.
“Saya Rozaizar, ingin memohon maaf kepada pihak bomba atas video yang telah tular di media sosial.
“Saya juga hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan bomba yang disifatkan banyak membantu dalam usaha mengawal serta memadam kebakaran di kawasan terjejas.
Terdahulu pada Ahad, lelaki berkenaan didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota bomba ketika operasi pemadaman kebakaran dijalankan, dipercayai berpunca daripada rasa kecewa selepas penempatan mereka musnah dalam kejadian tersebut.
Artikel lain: Kebakaran Di Sandakan: Anggota Bomba Luah Kecewa, Dicemuh Ketika Jalankan Tugas
Video insiden itu tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang mengecam tindakan memaki hamun anggota penyelamat yang sedang menjalankan tugas di lokasi kejadian.
Sumber: FB AnonymousParticipanttt










































