Penantian lebih sedekad akhirnya berbalas apabila seorang pegawai tadbir negeri berjaya merealisasikan impian lamanya untuk bergelar jutawan selepas diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) Ke-122.
Muhammad Riyadhul Hanif Abdullah, 34, berkata detik tidak disangka itu diterimanya ketika sedang menunggu kereta dibaiki di sebuah bengkel, dalam keadaan buntu memikirkan kos pembaikan yang mencecah ribuan ringgit.
“Ketika itu saya benar-benar berdoa agar dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak disangka.
“Tidak lama kemudian, saya dihubungi pihak BSN yang memaklumkan saya adalah pemenang cabutan SSP bagi Mac.
“Saya sangat terkejut dan tidak percaya. Selama ini saya selalu beritahu isteri bahawa saya mahu jadi jutawan suatu hari nanti, dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan,” katanya pada Program Temu Ramah Media Bersama Pemenang BSN SSP Ke-122 di sini hari ini.
Menurutnya, sebaik menerima berita tersebut, beliau segera menghubungi isterinya, Zarifah Zulkepli, 33, untuk berkongsi khabar gembira berkenaan.
“Pada mulanya isteri tidak percaya kerana saya selalu bergurau, tetapi selepas saya tunjukkan bukti daripada BSN, barulah dia yakin. Kami sangat teruja dengan rezeki yang tidak disangka ini,” katanya lagi.
Bapa kepada empat anak itu berkata, dia mula menyimpan dalam BSN SSP sejak 12 tahun lalu dengan deposit awal RM50 di cawangan Selayang.
Minat untuk menyimpan tercetus selepas beliau mengikuti siaran langsung cabutan SSP yang menyaksikan ramai pemenang daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Artikel lain:
Sejak itu, beliau konsisten menyimpan sekurang-kurangnya RM200 setiap bulan tanpa pernah mengeluarkan simpanan, yang kini hampir mencecah RM10,000.
Menurutnya, wang kemenangan itu akan digunakan bagi melangsaikan komitmen kewangan termasuk pinjaman rumah dan kenderaan, selain disimpan untuk masa depan anak-anak.
“Saya anggap ini rezeki untuk keluarga,” katanya.
Sumber: BERNAMA








































