Connect with us

Hi, what are you looking for?

Lokal

Pusat KOMAS Desak Petisyen Rohingya Diturunkan! Dakwa Cetus Kebencian, Hasutan

Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS) mengecam gelombang kebencian terbaru yang disasarkan terhadap pelarian Rohingya di Malaysia susulan satu petisyen di platform Change.org yang didakwa mengandungi unsur diskriminasi serta dakwaan mengelirukan.

Menurut KOMAS, petisyen yang dilancarkan oleh individu menggunakan nama samaran “Aku Anak Malaysia” itu telah meraih lebih 280,000 tandatangan dalam tempoh hanya tujuh hari.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, pertubuhan itu menegaskan petisyen berkenaan jelas melanggar garis panduan komuniti Change.org yang melarang kempen berunsur kebencian dan diskriminasi terhadap sesuatu kelompok masyarakat.

“Petisyen ini melanggar larangan terhadap kempen yang menggalakkan kebencian atau diskriminasi bertujuan memudaratkan seluruh kelompok masyarakat berdasarkan asal etnik, negara, atau kaum.
“Ia juga mengandungi dakwaan mengelirukan dan tidak berasas sehingga memesongkan pemahaman masyarakat terhadap komuniti Rohingya di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, KOMAS berkata petisyen tersebut mendakwa kemasukan pelarian Rohingya telah menyebabkan tekanan yang semakin meningkat terhadap sumber, infrastruktur dan perkhidmatan sosial negara.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Bagaimanapun, pertubuhan itu menjelaskan bahawa tiada data yang menyokong persepsi tersebut memandangkan komuniti Rohingya hanya membentuk kira-kira 0.4 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.

“Naratif sebegini secara sengaja menggambarkan seolah-olah komuniti Rohingya hanya mengambil daripada negara.
“Malah, ia mengabaikan hakikat bahawa ramai dalam kalangan mereka turut menyumbang kepada ekonomi Malaysia meskipun terpaksa hidup dalam keadaan tidak menentu dan sering dieksploitasi,” katanya lagi.

KOMAS turut melahirkan kebimbangan terhadap bagaimana petisyen itu digunakan untuk menggalakkan keganasan di luar platform digital, termasuk peningkatan seruan untuk mencederakan pelarian secara fizikal serta menyerang kediaman mereka.

“Walaupun pembuat petisyen tidak menyatakan perkara ini secara jelas di platform tersebut, konteks ini penting untuk menunjukkan bagaimana petisyen sebegini digunakan secara berniat jahat dan tidak boleh diabaikan,” tegasnya.

Dalam masa sama, KOMAS mengingatkan bahawa Malaysia secara tradisinya menentang pencabulan hak asasi manusia dan pernah memberikan perlindungan kepada pelarian lain termasuk Muslim Bosnia, masyarakat Chin dari Myanmar serta pelarian Pakistan walaupun negara ini bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Pelarian PBB 1951.

Pertubuhan itu turut menegaskan komuniti Rohingya berada di Malaysia akibat tindakan genosid, pembunuhan dan keganasan yang berlaku di Myanmar.

Sehubungan itu, KOMAS menyeru rakyat Malaysia agar membincangkan isu migrasi dan pemindahan paksa berdasarkan fakta serta bukannya stereotaip yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Menurutnya, kerajaan juga perlu membangunkan dasar yang lebih mampan dan berasaskan hak asasi manusia dalam menguruskan isu pelarian, namun pada masa sama melindungi kepentingan semua pihak tanpa menjadikan komuniti rentan sebagai kambing hitam.

KOMAS turut mendesak Change.org supaya segera menurunkan petisyen berkenaan bagi memastikan platform tersebut tidak menjadi medium penyebaran sentimen kebencian dan hasutan.

“Kebencian tidak boleh dinormalisasikan sebagai pandangan umum,” tambah kenyataan itu.

Sumber: FB Pusat KOMAS

Farah Nadia
Written By

Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Lokal

Empat maut dalam kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam berhampiran Penjara Simpang Renggam, Kluang hari ini, lapor Kosmo! Online. Dalam...

Lokal

Seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan lima buah kenderaan yang mengorbankan lima nyawa di Kilometer 27,...

Lokal

Komuniti Orang Asli di sekitar Jalan Pahang di sini menyatakan kesediaan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang...

Lokal

Jenazah empat ahli keluarga yang maut dalam nahas jalan raya di Simpang Renggam, Johor semalam selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd