Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kolumnis

Perniagaan Makanan Mampu Mengukuh Perpaduan Rakyat Malaysia

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai rakyat Malaysia menceburi bidang perniagaan makanan berskala kecil sama ada secara sambilan mahupun sepenuh masa. Fenomena ini jelas dapat dilihat melalui platform media sosial seperti Instagram dan TikTok yang memaparkan peniaga pelbagai kaum menjual makanan tradisi kaum lain dengan mesra.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa makanan bukan sekadar produk jualan, tetapi juga medium yang merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum. Perniagaan makanan berskala kecil ini merangkumi gerai, kios, trak makanan (food truck) dan penjaja jalanan.

Walaupun bermula secara kecil, sektor ini memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi setempat serta menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat. Menariknya, kepelbagaian makanan yang ditawarkan semakin ketara apabila pelbagai kaum kini terlibat dalam menjual makanan tradisional antara satu sama lain.

Peniaga Melayu turut menjual makanan India seperti pani puri dan ras malai, manakala peniaga India dan Cina pula menjual makanan Melayu seperti nasi lemak. Hal ini membuktikan bahawa makanan telah menjadi warisan bersama rakyat Malaysia, bukan lagi milik eksklusif sesuatu kaum.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Kita dapat lihat bahawa makanan tempatan semakin berkembang melalui kreativiti pelbagai kaum. Nasi lemak kini mempunyai pelbagai variasi seperti nasi lemak ayam berempah, nasi lemak kerang, nasi lemak sotong, nasi lemak pandan, serta versi moden seperti ayam goreng rangup dan sambal laut.

Roti canai juga tidak terkecuali dengan pelbagai pilihan seperti roti canai tsunami, roti bom, roti tisu dan roti sardin yang semakin digemari ramai. Kepelbagaian ini menunjukkan bahawa makanan Malaysia sentiasa berkembang melalui kreativiti bersama tanpa mengira kaum.

Lebih menarik, kepelbagaian ini turut melibatkan makanan Cina yang kini dijual dalam versi halal oleh peniaga Melayu, India dan juga peniaga Cina. Hidangan seperti wantan mee dan pan mee versi halal semakin mendapat sambutan. Selain itu, hidangan seperti hokkien mee dan char kuetiau juga telah diubah suai mengikut standard halal agar dapat dinikmati oleh semua kaum.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa makanan Cina telah menjadi sebahagian daripada budaya makanan nasional yang lebih inklusif dan bersifat menyatukan rakyat. Lebih membanggakan, para peniaga bukan sahaja menjual, malah mendalami pengetahuan tentang makanan yang mereka usahakan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Sebagai contoh, peniaga yang menjual pani puri memahami variasinya seperti dahi puri dan sev puri. Peniaga Melayu yang menjual makanan Cina seperti wantan mee dan char kuetiau turut mempelajari teknik penyediaan serta bahan asas seperti sup dan kicap bagi memastikan rasa yang autentik walaupun dalam versi halal.

Peniaga India pula yang menjual nasi lemak memahami teknik memasak nasi bersantan, sambal serta pelbagai variasi seperti nasi lemak ayam berempah, nasi lemak sambal kerang dan nasi lemak pandan yang semakin popular. Sementara itu, peniaga Cina yang menceburi jualan makanan Melayu turut mempelajari resipi asal bagi mengekalkan keaslian rasa.

Hal ini mencerminkan sikap saling menghormati budaya kaum lain. Bak kata peribahasa, “tak kenal maka tak cinta”. Fenomena ini lahir daripada sikap keterbukaan masyarakat Malaysia yang telah lama menjadi asas keharmonian negara. Hubungan antara kaum ini boleh diibaratkan “bagai aur dengan tebing” yang saling menyokong antara satu sama lain.

Dalam konteks ini, makanan bukan sahaja sumber pendapatan, tetapi juga jambatan perpaduan. Selain itu, makanan turut menjadi identiti nasional Malaysia. Kepelbagaian hidangan seperti nasi lemak, roti canai dan char kuetiau menjadikan Malaysia terkenal sebagai syurga makanan di peringkat antarabangsa.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Hal ini sekali gus memperkukuh imej negara sebagai masyarakat majmuk yang harmoni. Dalam era digital, peniaga turut memanfaatkan media sosial untuk mempromosikan makanan pelbagai budaya. Video tular yang memaparkan pelanggan daripada pelbagai kaum menikmati makanan bersama-sama membuktikan bahawa makanan mampu merentasi batas perbezaan.

Kesimpulannya, perniagaan makanan bukan sekadar aktiviti ekonomi, tetapi juga platform penting dalam memupuk perpaduan rakyat Malaysia. Selaras dengan pepatah “bersatu teguh, bercerai roboh”, usaha ini perlu dipelihara agar keharmonian negara terus terjamin.

Written By

Penulis merupakan Pensyarah Bahasa di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya.

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Lokal

Bapa kepada pelatih industri yang maut ketika menjalankan kerja pembersihan tangki air di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh menyifatkan pemergian anaknya sebagai satu kehilangan...

Sosial

Video seorang lelaki dipercayai suami yang terjerit-jerit di hadapan sebuah restoran makanan segera, tempat isterinya bekerja tular di media sosial sehingga mengundang kecaman netizen....

Sosial

Pasangan suami isteri yang tular selepas dipercayai bertengkar di sebuah restoran makanan segera di Senai tampil menjelaskan keadaan sebenar bagi menepis pelbagai spekulasi yang...

Sosial

Tindakan sekumpulan pelancong yang dipercayai dari Malaysia mencetuskan kemarahan ramai selepas didakwa menghina penduduk tempatan ketika bercuti di China. Tutup hidung dan menjerit-jerit di...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd