Masa depan kewangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menjadi keutamaan apabila Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh prestasi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi memastikan pulangan mampan kepada lebih 110,000 pencarum.
Dengan prestasi pelaburan dan keadaan ekonomi negara yang semakin berkembang positif, LTAT disasarkan untuk terus meningkatkan keupayaan kewangannya sekali gus membuka ruang kepada pemberian kadar dividen yang lebih baik kepada pencarum pada masa hadapan.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penentuan kadar dividen LTAT bergantung kepada prestasi kewangan semasa, termasuk keuntungan yang diperoleh daripada portfolio pelaburan serta syarikat-syarikat di bawah kumpulan LTAT.
Justeru, beliau menegaskan kepentingan pengurusan LTAT untuk terus memperkukuhkan prestasi operasi dan pelaburan agar mampu memberikan pulangan terbaik kepada pencarum.
Menurutnya, LTAT berjaya mengekalkan kadar dividen sekurang-kurangnya lima peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mencerminkan keupayaan dana persaraan anggota tentera itu untuk kekal berdaya tahan walaupun berdepan cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
“Setiap tahun apabila sampai masanya, kita akan mengumumkan dividen dan ia bergantung kepada keuntungan serta pendapatan yang diperoleh.
“Untuk tahun depan, kita berharap ekonomi terus baik dan semua syarikat berkaitan LTAT mampu menghadapi segala cabaran. Insya-Allah, kita dapat memberikan pulangan yang lebih baik kepada pencarum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Wira LTAT Edisi Pantai Timur di Pangkalan TUDM Kuantan, hari ini.
Di sebalik usaha memperkukuh kedudukan kewangan LTAT, MINDEF turut meneruskan agenda kesejahteraan warga ATM secara menyeluruh bagi memastikan kebajikan anggota dan keluarga mereka sentiasa diberi perhatian.
Mohamed Khaled berkata, pelbagai inisiatif terus diperkasakan melibatkan aspek perumahan, kesihatan, pendidikan, pembangunan kemahiran serta pengurusan kewangan sebagai sebahagian daripada komitmen kementerian dalam meningkatkan kualiti hidup warga pertahanan negara.
Langkah berterusan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada keperluan semasa anggota ATM, malah turut memastikan persediaan masa depan mereka melalui sokongan kewangan dan pembangunan kesejahteraan yang lebih menyeluruh.
Malah di sebalik kesiapsiagaan anggota ATM dalam mempertahankan keselamatan negara, aspek kebajikan dan kesejahteraan warga pertahanan terus menjadi perhatian utama MINDEF.
Usaha memperkasakan kesejahteraan anggota ATM dilaksanakan secara berterusan dan berperingkat menerusi pelbagai inisiatif yang bukan sahaja memberi manfaat kepada anggota, malah turut melibatkan keluarga serta komuniti pertahanan secara keseluruhannya.
Antara fokus utama MINDEF adalah memastikan penyediaan kemudahan perumahan yang lebih baik kepada warga ATM, termasuk mempergiatkan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap kediaman sedia ada selain membangunkan perumahan baharu bagi memenuhi keperluan anggota.
Selain aspek kediaman, kebajikan kesihatan warga ATM turut diberikan perhatian menerusi usaha mempertingkatkan kualiti perkhidmatan di hospital dan klinik tentera.
Langkah itu bertujuan memastikan kemudahan kesihatan pertahanan mampu menyediakan rawatan terbaik serta memenuhi keperluan anggota dan keluarga mereka.
“Matlamat kita supaya penyediaan kesihatan dalam ATM adalah yang terbaik, termasuk hospital dan klinik tentera yang mampu memberikan perkhidmatan berkualiti kepada anggota,” ujarnya.
Komitmen ini mencerminkan pendekatan MINDEF yang tidak hanya menumpukan kepada aspek pertahanan dan kesiapsiagaan pasukan, tetapi turut memberi penekanan terhadap kebajikan warga ATM sebagai tonggak utama kekuatan organisasi pertahanan negara.
Kesejahteraan warga ATM turut merangkumi aspek masa depan keluarga anggota menerusi penyediaan peluang pendidikan dan kemahiran kepada anak-anak anggota, selain melibatkan pasangan anggota dalam program pembangunan ekonomi.
Dalam masa sama, pengurusan kewangan diberi perhatian bagi membantu anggota mengurus pendapatan dengan lebih baik, terutama ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.
Jelas Mohamed Khaled, keadaan ekonomi global yang terdedah kepada pelbagai krisis seperti krisis tenaga, perubahan cuaca dan gangguan bekalan makanan turut memberi kesan terhadap peningkatan kos kehidupan.
Sementara itu, berdepan perubahan landskap keselamatan global yang semakin kompleks, MINDEF memperkukuh perancangan jangka panjang bagi memastikan Malaysia memiliki sistem pertahanan yang lebih berdaya tahan, moden dan bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman masa hadapan.
Sebagai langkah strategik, MINDEF telah menggariskan beberapa kerangka utama melalui Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030, Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026–2030, Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) serta pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WOGOS).
“Angkatan Tentera Malaysia tidak boleh bergerak dengan berkesan dalam keadaan negara tidak stabil dan rakyat huru-hara. Berpecah tidak ada perpaduan dan kesepaduan.
“Jadi, anggota-anggota mesti bersedia belajar meningkatkan keupayaan diri dan berubah mengikut keperluan pertahanan semasa.
“Kekuatan Angkatan Masa Hadapan ini bukan hanya pada aset dan teknologi tetapi melihat kepada anggota-anggota itu sendiri,” ucap Mohamed Khaled.
Persekitaran keselamatan negara kini berdepan perubahan yang semakin mencabar apabila bentuk ancaman tidak lagi terhad kepada peperangan konvensional, sebaliknya berkembang kepada pelbagai dimensi baharu yang lebih kompleks dan sukar dijangka.
Perubahan landskap keselamatan itu menuntut ATM untuk terus memperkukuh keupayaan pertahanan menerusi pembangunan Angkatan Masa Hadapan yang lebih moden, pintar, bersepadu serta sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tinggi.
Pendekatan tersebut bukan sekadar memberi fokus kepada pemodenan aset dan teknologi pertahanan, tetapi turut menekankan pembangunan modal insan sebagai elemen penting dalam memastikan ATM kekal relevan berdepan cabaran keselamatan masa kini dan masa hadapan.
Seiring perubahan teknologi dan corak ancaman global, usaha memperkukuh keupayaan pertahanan negara perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan menggabungkan elemen teknologi, kepakaran manusia serta kerjasama strategik bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
Selain itu, inisiatif pembangunan kerjaya menerusi program Perantisan Veteran MyWIRA hasil kerjasama bersama Royale Chulan Kuala Lumpur turut memberi manfaat kepada veteran ATM serta anggota yang sedang berada dalam tempoh peralihan sebelum bersara.
Program yang berlangsung selama enam bulan itu menerima sebanyak 184 permohonan, sebelum 14 peserta dipilih untuk menyertai kohort pertama. Daripada jumlah berkenaan, sembilan peserta berjaya menamatkan latihan dan kini menjalani latihan industri di beberapa hotel sekitar Shah Alam, Seremban, Kuala Lumpur serta lokasi lain di seluruh negara.
Sepanjang penyertaan, peserta diberikan pendedahan terhadap pelbagai kemahiran dalam bidang hospitaliti melibatkan beberapa jabatan utama. Mereka juga berpeluang ditawarkan jawatan tetap sekiranya berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang tempoh latihan tersebut.
Majlis penutup Program Jelajah Wira LTAT 2026: Edisi Pantai Timur hari ini turut menyaksikan pelancaran Program Kem Santuni MADANI 2026 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM600,000.
Inisiatif yang memfokuskan kepada kebajikan, pembangunan komuniti dan penambahbaikan kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 6,500 keluarga ATM di enam lokasi, iaitu Kem Desa Pahlawan, Kelantan; Pangkalan Udara Kuantan, Pahang; Kem Seri Pantai, 18 RAMD (Para), Terengganu; Kem Sungai Udang, Melaka; serta KD Sultan Ismail dan Kem Mahkota Kluang di Johor.
Mohamed Khaled turut menyempurnakan penyerahan Surat Tawaran Pekerjaan Veteran MyWIRA Kohort PERNAMA dan penyerahan peranti kepada peserta Program e-Perkasa SPM 2026.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin TUDM (B); Ketua Setiausaha MINDEF merangkap Timbalan Pengerusi LTAT, Datuk Lokman Hakim Ali; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad yang mewakili Panglima Tentera Darat; serta Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Dato’ Masro Kaliwon TUDM yang mewakili Panglima Tentera Udara.







































