Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan Nasihat Taufan (Bavi) selepas ribut tropika berkenaan dikesan pada jam 8 pagi, kira-kira 1,151 kilometer (km) ke tenggara Taipei, Taiwan.
Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional MetMalaysia memaklumkan, taufan itu berada pada kedudukan latitud 18.3 darjah Utara dan longitud 130.0 darjah Timur.
Menurut kenyataan itu, ribut berkenaan bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 20 kilometer sejam (km/j), manakala kelajuan angin maksimum direkodkan mencecah 185 km/j.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat MTL dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638,” menurut kenyataan itu.
MetMalaysia memaklumkan, jarak ribut tropika itu dari bandar terdekat adalah kira-kira 1,896 km ke timur laut Sandakan, Sabah.
Bagaimanapun, agensi berkenaan menjelaskan bahawa sistem ribut berkenaan tidak memberi kesan signifikan terhadap Malaysia buat masa ini.
Orang ramai disaran terus mengikuti perkembangan terkini berkaitan keadaan cuaca menerusi saluran rasmi MetMalaysia bagi menghadapi sebarang perubahan keadaan atmosfera.
Sumber: METMalaysia








































