Network School yang sebelum ini beroperasi di Forest City, Johor bakal melangkah ke fasa baharu apabila merancang membuka kampus baharunya di Kazakhstan menerusi kerjasama dengan kerajaan negara berkenaan.
Pengasas Network School, Balaji Srinivasan memaklumkan satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara pihaknya bersama Republik Kazakhstan bagi merealisasikan pembangunan kampus tersebut.
Menurutnya, kampus baharu itu dirancang sebagai pusat menghimpunkan bakat teknologi dari seluruh dunia dengan menawarkan kemudahan termasuk proses visa dipercepatkan, urusan penempatan lebih mudah serta pengambilan bakat secara aktif.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa memorandum persefahaman telah ditandatangani antara Republik Kazakhstan dan Network School.
“Kampus baharu kami akan menjadi tempat perlindungan bagi komuniti global yang optimis terhadap teknologi,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Sementara itu, Kementerian Kecerdasan Buatan dan Pembangunan Digital Kazakhstan memaklumkan MoU berkenaan ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kecerdasan Buatan dan Pembangunan Digital Kazakhstan, Zhaslan Madiyev bersama Balaji.
Artikel lain: Lesen Perniagaan Network School Dibatalkan! MDEC Dalam Proses Batal Status Malaysia Digital Terhadap NSO Malaysia
Kerjasama itu meliputi pembangunan program pendidikan berkaitan kecerdasan buatan (AI), sokongan terhadap syarikat pemula niaga, penyelidikan bersama serta penganjuran persidangan antarabangsa.
Ia turut bertujuan menarik pakar teknologi terkemuka, syarikat teknologi serta pelaburan asing ke Kazakhstan sekali gus memperkukuh kedudukan negara itu sebagai hab serantau dalam bidang AI dan inovasi.
Perkembangan terbaharu itu hadir selepas lesen perniagaan Network School di Malaysia dilaporkan ditarik balik susulan siasatan berkaitan dakwaan pelanggaran undang-undang imigresen di kampus Forest City.
Sebelum ini, Balaji dilaporkan menangguhkan rancangan pelaburan tambahan bernilai kira-kira RM500 juta di Malaysia sementara menunggu jaminan berkaitan kedudukan serta operasi Network School di negara ini.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































