“Mak, ini tiket umrah untuk mak…”
Demikian kata mekanik dikenali sebagai ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’ yang tular di media sosial selepas menerima tajaan umrah untuk dua orang daripada TV Al-Hijrah dengan sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, hari ini.
Mohd Yusof Mohd Noor berkata, beliau bersyukur atas tajaan itu dan menyifatkan peluang tersebut amat bermakna kerana ia membolehkan beliau merealisasikan hasrat lama untuk membawa ibunya ke Tanah Suci.
“Alhamdulillah, syukur rezeki milik Allah. Terima kasih kepada Dr Zulkifli (dan TV Al-Hijrah) yang beri saya peluang pergi umrah.
“Sejak tahun lepas lagi saya memang berniat nak bawa mak ke umrah, jadi ini rezeki yang sangat saya hargai,” katanya.
Beliau berkata, detik mengejutkan berlaku apabila namanya dipanggil ke pentas pada penghujung program, sebelum dimaklumkan mengenai hadiah pakej umrah tersebut.
“Saya tak sangka langsung. Dah nak habis makan, tiba-tiba nama saya dipanggil naik pentas. Rupanya ada kejutan,” katanya.
Tambahnya, beliau segera memaklumkan berita gembira itu kepada ibunya dengan penuh rasa syukur.
“Alhamdulillah, ini rezeki mak. Rezeki milik Allah SWT,”luahnya.
Hadiah berkenaan diberikan sebagai penghargaan terhadap sikap prihatin dan amanah Mohd Yusof dalam membantu orang ramai melalui penggunaan wang infaq hasil sumbangan orang ramai di platform media sosial, selain usaha merealisasikan impiannya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Artikel lain: Dicky Yau Tunai Janji! Nekad Serah RM3,000 Meski Ditolak ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’
Sementara itu, Mohd Yusof berkata, semua yang dilakukan itu adalah semata-mata kerana Allah SWT.
“Saya tak meminta apa-apa, ini semua rezeki. Saya pun tak tahu nak cakap apa kerana tak menjangkakan perkara ini boleh sampai ke tahap ini.
“Saya cuma jalankan amanah orang yang menginfak dan melakukan tanggungjawab sebagai pekerja.
“Saya tak mahu memegang duit infak terlalu banyak, takut tersalah pakai atau gelap mata,” katanya.
Terdahulu, Mohd Yusof tular di media sosial selepas membantu seorang lelaki berbangsa Cina, Dicky Yau, yang mengalami kerosakan motosikal ketika pulang dari kerja pada waktu malam.
Dalam kejadian itu, beliau bukan sahaja membantu membaiki motosikal berkenaan, malah tidak mengenakan sebarang bayaran dengan menggunakan dana infaq bagi menampung kos pembaikan, tindakan yang menerima pujian ramai netizen.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































