Sebuah kedai scones popular di Cameron Highlands menjadi perhatian ramai selepas tular beberapa tangkap layar di platform Threads yang didakwa melibatkan interaksi akaun media sosial premis berkenaan dengan pengguna.
Kejadian itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen apabila pihak yang mengendalikan akaun berkenaan didakwa membalas komen orang ramai dengan nada kasar, sekali gus mengundang kecaman meluas.
Isu dipercayai tercetus susulan luahan pemilik premis berkenaan mengenai kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands ketika musim cuti, yang menurutnya berpunca daripada lambakan pengunjung pada waktu puncak.
Menerusi video tular, beliau didakwa menegur orang ramai supaya tidak berkunjung pada masa sama bagi mengelakkan kesesakan di laluan utama menuju pusat peranginan itu.
Namun, situasi menjadi panas apabila beberapa balasan di ruangan komen didakwa menggunakan bahasa yang tidak berhemah termasuk kata-kata kesat terhadap pengguna media sosial.
Tindakan itu mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan netizen yang berpendapat bahawa pengendalian komunikasi perniagaan di media sosial perlu dilakukan secara profesional, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pelanggan dan orang awam.
Ada juga yang menegaskan bahawa setiap teguran wajar dijawab dengan lebih beretika bagi mengelakkan salah faham serta menjaga imej perniagaan.
Lebih menjadi perhatian, terdapat dakwaan bahawa pemilik premis terbabit tidak bimbang dengan kemungkinan kempen boikot, sebaliknya yakin perniagaan masih akan terus menerima sambutan.
Sumber: Threads eychanatasya_











































