Jenazah seorang penuntut kolej, Nurfisya Zulkifly, 19, yang menjadi mangsa pembunuhan kejam dengan 61 tikaman, selamat dikebumikan awal pagi tadi dalam suasana pilu.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Periang, Karai, kira-kira jam 5.30 pagi selepas dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu pada jam 10.30 malam.
Tinjauan di kediaman keluarga mangsa di Kampung Batu Jarau pagi ini mendapati suasana lengang dengan hanya beberapa ahli keluarga terdekat berada di rumah, termasuk bapa mangsa yang dilihat masih terkesan dengan tragedi itu.
Seorang bapa saudara mangsa yang enggan dikenali bagaimanapun tampil memohon agar pihak media memberi ruang kepada keluarga untuk bertenang.
“Kami sebenarnya tak nak ulas apa-apa sebab kami sekarang dalam keadaan kami takut bercakap apa yang tak patut cakap. Jadi saya harap beri ruang pada kami. Insya-Allah kalau kami sudah tenang nanti kami boleh beri kerjasama.
“Beri kami ruang dan berehat dahulu. Kami pun belum sempat tidur lagi sekembalinya daripada Kelantan. Kami sampai sana sekitar jam 9 malam tadi,” katanya.
Menurutnya, ahli keluarga terdekat termasuk bapa mangsa masih terkejut dan memilih untuk berdiam diri susulan kejadian tragis itu.
Artikel lain: Kes Empat Sekeluarga Dibunuh, Tekanan Kewangan Dipercayai Punca
Terdahulu, mayat mangsa ditemukan terbaring di atas jalan di kawasan sawah di Kampung Kubang Getah, Ketereh, Kota Bharu, pada tengah malam Jumaat lalu.
Mangsa yang juga penuntut diploma semester ketiga di sebuah kolej di Kota Bharu dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, polis dilaporkan telah menahan empat individu bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut, melibatkan dua lelaki berusia 19 tahun serta sepasang warga emas masing-masing berusia 66 dan 60 tahun.
Sumber: Harian Metro (Muhammad Zulsyamini Sufian Suri)
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.









































