Ibu mentua kepada pempengaruh media sosial, Prince Syed, meluahkan rasa syukur selepas Mahkamah Majistret memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) dirinya bersama suami dan anak lelaki dalam kes yang melibatkan menantunya itu.
Maafkan Fatin
Memetik laporan daripada Harian Metro, Aminah Haniffa, 56, dia tidak pernah membuang atau berdendam dengan anaknya, Fatin Syazwani Ishak, meskipun mereka sudah lama tidak bertemu.
“Emak tak buang Fatin, emak maafkan Fatin…Fatin anak emak dunia akhirat, adik beradik pun tak buang Fatin,” ujarnya.
Sebak selepas tujuh bulan tak bertemu anak
Aminah menyatakan dia sempat bertemu Fatin sebelum prosiding mahkamah bermula dan mengakui gagal menahan sebak kerana sudah tujuh bulan tidak berjumpa dengan anaknya itu.
Sepanjang tempoh tersebut, dia hanya mampu bertanya khabar menerusi aplikasi WhatsApp.
“Sejak November, mak cik tak berjumpa Fatin…suara dia pun mak cik tak dengar, tak ada telefon.
“Tapi kadang kala mak cik WhatsApp kerana nak bertanya khabarnya untuk tahu Fatin sihat atau tidak.
“Tadi mak cik sempat jumpa dan dia (Fatin) nampak sedih tapi tak boleh buat apa. Tak tahan sebak tadi sebab dia anak dan mak cik yang mengandung dan melahirkannya,” katanya.
Hanya mahu jumpa anak dan cucu
Ditanya sama ada sudah memaafkan Fatin dan Prince Syed, Aminah menegaskan dia tidak pernah menyimpan dendam terhadap mereka.
“Ada ke seorang emak tak boleh memaafkan anak dan menantu? Ada tak?
“Anak tak memaafkan emak itu ada…mak cik nak jumpa anak dan cucu..selagi tak jumpa, hati ini tak tenteram sebab cucu pun rapat dengan kami.
“Mak cik pun terima dia (Prince Syed) kalau dia balik…janji bawa anak dan cucu mak cik. Mak cik tak mahu duit dia (Prince Syed), mak cik nak anak dan cucu saja,” katanya.
Terima kasih tarik balik kes
Sementara itu, suaminya, Ishak Saif, memaklumkan bahawa dia juga sudah lama memaafkan segala yang berlaku dan berharap dapat bertemu semula dengan anak, menantu serta cucunya.
Namun, dia mengakui masih terkilan kerana belum berpeluang bertemu mereka secara bersemuka.
“Terima kasih tarik balik kes…itu saja,” katanya ringkas.
Terdahulu, Majistret Nor Azilah Mat memutuskan Aminah, Ishak dan anak mereka, Muhammad Ikhwan Alif Ishak, dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan Prince Syed.
Dalam prosiding berasingan, abang ipar Prince Syed, Muhammad Syahmi Faiz Ishak turut diberikan DNAA selepas pempengaruh itu menarik balik laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Sebelum ini, pada November tahun lalu, Aminah, Ishak dan Muhammad Ikhwan Alif mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Prince Syed di Sungai Bertek, Klang.
Sumber: Harian Metro (Redzuan Muharam)









































