Pengurusan tanah perkuburan umat Islam adalah fardu kifayah yang tidak boleh dikomersialkan atau diserahkan kepada mana-mana pihak yang tidak mempunyai keabsahan syarak untuk menguruskannya.
Memetik laporan MalaysiaGazette, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) berkata, penstrukturan semula serta perjanjian pertukaran tanah yang melibatkan pembangunan infrastruktur oleh pihak ketiga hanyalah satu mekanisme pelaksanaan yang akhirnya bertujuan menyediakan kemudahan terbaik bagi pengurusan jenazah umat Islam.
Penjelasan itu dibuat susulan perbincangan yang timbul di pelbagai platform media sosial berhubung isu pengurusan tanah perkuburan umat Islam di Wilayah Persekutuan.
Sebelum ini, media melaporkan pada 9 Julai lalu bahawa urusan pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan tidak akan diswastakan menerusi Projek Pembangunan Tanah Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan di Lot PT3458, Mukim Hulu Semenyih, Hulu Langat, Selangor.
Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan dilaporkan berkata, tanah yang terlibat dalam projek berkenaan kekal dimiliki Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan telah diwartakan sebagai Tanah Perkuburan Awam seluas 90.12 hektar (222.68 ekar).
Dalam penjelasannya, JMWP berkata, fuqaha kontemporari termasuk Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili turut menghuraikan keharusan menggunakan instrumen muamalat seperti istibdal (pertukaran) dalam pengurusan hartanah dan wakaf, termasuk tanah perkuburan, bagi memastikan manfaat serta kemaslahatan awam terus dipelihara atau dipertingkatkan.
Menurut jabatan itu, pertukaran hak milik tanah yang dilaksanakan oleh Ulil Amri perlu dirancang secara sistematik supaya kawasan perkuburan dilengkapi kemudahan asas seperti jalan yang baik serta susun atur yang teratur sebelum diselia sepenuhnya oleh pihak berkuasa agama.
Katanya, pendekatan itu selaras dengan maqasid syariah menerusi aspek Hifz al-Din (memelihara agama), selain memenuhi tuntutan pelaksanaan fardu kifayah.
Sehubungan itu, JMWP menyeru masyarakat supaya mengamalkan prinsip *tabayyun* serta mendapatkan penjelasan daripada institusi agama yang berautoriti sebelum menyebarkan sebarang maklumat.
Menurut JMWP, hasil pemerhatiannya mendapati isu pengurusan tanah perkuburan umat Islam di Wilayah Persekutuan telah menjadi bahan perbincangan di pelbagai platform media sosial.
Jelasnya, perbincangan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat apabila timbul dakwaan kononnya pengurusan tanah perkuburan umat Islam akan diserahkan kepada pihak swasta, sekali gus membangkitkan sensitiviti berkaitan kos pengurusan dan isu pengurusan silang agama.
Bagaimanapun, JAWI telah menjelaskan bahawa perkara tersebut bukan melibatkan penyerahan kuasa mentadbir tanah perkuburan kepada entiti swasta.
Sebaliknya, ia merupakan kaedah pertukaran tanah antara Kerajaan Persekutuan dengan syarikat berkaitan, yang mewajibkan syarikat berkenaan menyediakan infrastruktur asas termasuk jalan keluar masuk serta membangunkan tapak perkuburan sebelum diserahkan semula kepada kerajaan.
JMWP turut menjelaskan bahawa pengurusan tanah perkuburan di Wilayah Persekutuan terbahagi kepada dua kategori, iaitu tanah wakaf dan tanah perkuburan awam.
“Bagi kategori tanah wakaf, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bertindak sebagai mutawalli (pemegang amanah) tunggal yang memelihara kesucian hak milik Allah SWT agar tidak ditukar ganti atau dieksploitasi sewenang-wenangnya.
“Tanah perkuburan awam pula merujuk kepada tanah rizab kerajaan yang diwartakan dan diurus selia sepenuhnya oleh JAWI bersandarkan kapasiti Ulil Amri dalam menjaga maslahah ‘ammah’ (kepentingan awam).
“Hal ini berbeza dengan pengurusan tanah perkuburan bukan Islam yang bersifat komersial dan terikat dengan peraturan-peraturan tertentu seperti garis panduan khusus yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Tanah dan Galian Persekutuan,” ujarnya.
Artikel lain: Penggali Kubur Derita Kanser Mulut -“Saya Mahu Sembuh, Jalani Kehidupan Seperti Biasa..”
Penjelasan tersebut dimuatkan menerusi Tinta Mufti Bil. 119/2026: Memelihara Kesucian Tanah Perkuburan Islam yang diterbitkan hari ini.
Sumber: MalaysiaGazette (Norlizah Abas)







































