Peserta rancangan MasterChef: Global Gauntlet, Jaime Tan, 27, tampil membuat permohonan maaf selepas hidangan ikonik Malaysia, roti canai, yang dipersembahkan beliau di pentas MasterChef US Musim Ke-16 mencetuskan perdebatan dalam kalangan penonton dan netizen Malaysia.
Kontroversi tercetus apabila cara sebutan “roti kanai” yang digunakan Jaime ketika memperkenalkan hidangan tersebut dipersoalkan warganet, yang menegaskan sebutan tepat bagi hidangan popular itu ialah “roti canai”.
Isu berkenaan kemudiannya tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk kritikan terhadap ketepatan sebutan makanan tersebut yang dianggap antara identiti kulinari Malaysia.
Susulan itu, Jaime tampil menjelaskan keadaan sebenar dan memohon maaf secara terbuka, sambil menegaskan bahawa kesilapan tersebut berlaku tanpa sebarang niat untuk merendahkan atau memperlekehkan hidangan berkenaan di pentas antarabangsa.
“Justeru, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kesilapan yang sama sekali tidak disengajakan itu. Saya tiada niat langsung untuk sengaja menyalah sebut sebuah hidangan kebangsaan di media antarabangsa.
“Ia merupakan satu kekhilafan murni, dan kini saya telah mempelajari sebutan yang betul bagi roti canai,” katanya.
Dalam penjelasannya, Jaime berkata beliau tidak dibesarkan di Malaysia dan mempunyai pendedahan terhad terhadap sebutan tempatan, meskipun mempunyai pertalian darah kacukan Amerika-Malaysia serta latar keluarga yang pernah menetap di Johor.
Beliau turut berkata walaupun membesar di luar negara, dirinya tetap mempunyai ikatan emosi dengan Malaysia dan menghargai peluang untuk mewakili rantau Asia-Pasifik dalam pertandingan tersebut.
Jaime pada masa sama mengakui terkesan dengan reaksi di media sosial, namun tetap menghargai sokongan sebahagian pihak yang memahami situasi berkenaan, selain menyifatkan pengalaman itu sebagai berharga dalam kerjayanya sebagai pencipta kandungan.
@igumdrop I am sorry 🥲 roti kanai incident
“Saya terfikir, mujurlah saya berjaya mara, jika tidak, mungkin kecaman yang diterima akan menjadi lebih hebat. Akhir kata, salam sayang buat seluruh rakyat Malaysia. Saya sekali lagi memohon maaf atas kesilapan sebutan roti canai tersebut,” jelasnya.
Sumber: Threads igumdrop
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.









































