Connect with us

Hi, what are you looking for?

Lokal

Dari Tulang Ikan Bandar Raya Jadi Kapsul Kalsium! Pelajar MRSM Pasir Salak Cipta Inovasi, Raih Pengiktirafan Dunia

Sekumpulan enam pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pasir Salak mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya menghasilkan kapsul kalsium daripada tulang ikan bandar raya yang sebelum ini dianggap sebagai sisa.

Ia sekali gus berpotensi dibangunkan sebagai makanan tambahan atau suplemen.

Dengan hanya menggunakan kemudahan makmal sekolah serta bimbingan guru Biologi, inovasi berkenaan membuktikan kemampuan pelajar tempatan menghasilkan penyelidikan saintifik yang memberi nilai tambah kepada alam sekitar dan masyarakat.

Guru pembimbing projek berkenaan, Mahfuza Mansor berkata, idea menghasilkan suplemen daripada tulang ikan bandar raya tercetus selepas kejayaan penyelidikan terdahulu yang menggunakan tulang ayam sebagai sumber kalsium alternatif.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Menurutnya, pendekatan sama diterapkan terhadap ikan bandar raya atau nama saintifiknya Hypostomus plecostomus, yang merupakan spesies asing invasif dan kini mengancam keseimbangan ekosistem sungai negara.

“Apabila isu ikan bandar raya mula mengisi ruang media sosial, saya terfikir, jika tulang ayam yang dianggap sisa makanan boleh dijadikan sumber kalsium, mengapa tidak gunakan pendekatan sama terhadap tulang ikan bandar raya yang banyak dibuang selepas ditangkap,” katanya.

Mahfuza berkata, projek penyelidikan itu dimulakan sekitar April 2025 menerusi program Schoolwide Enrichment Model (SEM), dengan pelajar terlebih dahulu menjalankan kajian terhadap jurnal, artikel akademik serta penyelidikan terdahulu berkaitan spesies berkenaan.

Katanya, hasil kajian mendapati tulang ikan bandar raya mengandungi komponen penting seperti kalsium, kolagen dan gelatin yang berpotensi dimanfaatkan sebagai sumber suplemen alternatif.

Sampel ikan bandar raya diperoleh daripada pencipta kandungan media sosial, Mohd Nur Badri Mat Sidek atau lebih dikenali sebagai Dunia Badol, sebelum menjalani beberapa siri eksperimen di makmal sekolah.

Selepas berjaya menghasilkan prototaip kapsul, sampel berkenaan dihantar ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) untuk analisis kandungan menggunakan mesin Inductively Coupled Plasma (ICP) Spectroscopy.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Hasil ujian mendapati kandungan kalsium dalam sampel adalah tinggi, manakala kandungan logam berat arsenik pula sangat rendah iaitu sekitar 0.008 miligram per liter, jauh di bawah paras maksimum yang dibenarkan iaitu lima miligram per liter,” katanya lagi.

Beliau berkata, keseluruhan proses penyelidikan daripada eksperimen di makmal sekolah sehingga analisis saintifik mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum produk inovasi itu berjaya dihasilkan.

Projek berkenaan turut mengharumkan nama negara apabila meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk pingat emas dan anugerah penyelidikan dalam beberapa pertandingan inovasi di Jakarta, Abu Dhabi serta pertandingan peringkat dunia.

Mahfuza berkata, inovasi itu bukan sahaja mempunyai potensi untuk dikomersialkan, malah mampu membantu usaha mengawal populasi ikan bandar raya yang menjadi ancaman kepada ekosistem sungai.

“Apabila produk ini dikomersialkan, lebih banyak ikan bandar raya akan ditangkap untuk dijadikan bahan asas penghasilan produk.
“Secara tidak langsung dapat membantu mengawal dan mengurangkan populasi spesies invasif ini di perairan negara,”ujar beliau.

Sementara itu, ketua kumpulan penyelidik, Muhammad Danish Iman Ahmad Daud, 16, berkata pengalaman menyertai projek itu memberi pendedahan besar dalam bidang penyelidikan saintifik walaupun berdepan cabaran mengimbangi tugasan akademik dan projek.

“Antara cabaran utama yang dihadapi ialah kekangan masa, selain memastikan setiap ahli kumpulan sentiasa komited menghadiri perjumpaan, melaksanakan tugasan dan menyiapkan kerja mengikut perancangan yang ditetapkan,” katanya.

Pengetua MRSM Pasir Salak, Mohd Fadzli Muhammad berkata, kejayaan itu membuktikan pelajar sekolah juga mampu menghasilkan penyelidikan berkualiti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Menurutnya, budaya penyelidikan diterapkan menerusi pelaksanaan SEM yang mendedahkan pelajar kepada proses inovasi secara sistematik bermula daripada pencetusan idea, pengumpulan data, kajian sehingga menghasilkan laporan dan pembentangan projek.

Sumber: BERNAMA

Farah Nadia
Written By

Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Bisnes

Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu mengenai dua transaksi kemasukan wang berjumlah keseluruhan RM8 juta daripada akaun Fashion Valet Sdn Bhd ke dalam...

Lokal

Seorang bapa berusia 53 tahun dihukum penjara 105 tahun selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan merogol anak perempuan sulungnya antara Disember 2025 hingga 19...

Sukan

Insiden tegang mewarnai aksi final Piala Dunia 2026 apabila pemain Argentina dan Sepanyol terlibat dalam pergaduhan sejurus wisel penamat dibunyikan. Situasi tersebut tercetus selepas...

Sosial

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melahirkan rasa sedih terhadap keadaan Dataran Merdeka yang dipenuhi sampah sarap selepas ribuan penyokong berhimpun bagi menyaksikan siaran langsung...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd