Pulau Pinang terus mencuri perhatian dunia apabila dipilih sebagai lokasi penggambaran filem Hollywood terbitan Netflix, The Big Fix yang dibintangi bintang antarabangsa, Mark Wahlberg.
Penggambaran filem berkenaan yang berlangsung selama dua minggu dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan produksi filem antarabangsa, selain memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negeri itu.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, pemilihan negeri berkenaan oleh produksi bertaraf dunia itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh industri kreatif tempatan.
“Keputusan sebuah produksi utama Netflix yang dibintangi pelakon Hollywood, Mark Wahlberg, memilih Pulau Pinang sebagai lokasi penggambaran merupakan satu lagi pencapaian penting bagi sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negeri ini.
“Produksi bertaraf antarabangsa seperti ini memberi pendedahan yang amat bernilai kepada Pulau Pinang menerusi salah satu platform penstriman terbesar dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, penggambaran yang bermula tiga hari lalu melibatkan beberapa lokasi ikonik di Pulau Pinang termasuk Jawi Peranakan Mansion, Cheong Fatt Tze – The Blue Mansion, Lorong Ikan di George Town serta Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Katanya, memandangkan filem The Big Fix berkisar mengenai dunia bola sepak, beberapa babak turut dirakam di stadium sekitar Pulau Pinang dan Kuala Lumpur selain lokasi lain di negeri itu sepanjang minggu ini.
Wong berkata, produksi tersebut turut menerima sokongan menerusi program Film in Malaysia Incentive (FIMI) selain kerjasama PETACE, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Penang Global Tourism (PGT), pasukan produksi serta agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran penggambaran.
“Produksi antarabangsa bukan sahaja mewujudkan peluang ekonomi kepada perniagaan tempatan, hotel, penyedia pengangkutan dan industri kreatif, malah mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan filem dengan memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia untuk mengunjungi lokasi yang dipaparkan di skrin,” katanya lagi.
Beliau berkata, kejayaan menarik produksi The Big Fix menyusuli pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi penggambaran filem antarabangsa lain, Sandiwara, yang dibintangi pemenang Anugerah Akademi, Tan Sri Michelle Yeoh awal tahun ini.
Menurutnya, perkembangan itu membuktikan keyakinan industri filem antarabangsa terhadap ekosistem penggambaran di Pulau Pinang serta komitmen kerajaan negeri dalam menarik lebih banyak produksi asing.
Katanya, kehadiran produksi berkenaan bukan sahaja mampu menjana nilai ekonomi, malah membuka peluang pembangunan bakat kreatif tempatan dan memperkenalkan Pulau Pinang kepada penonton di seluruh dunia.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.











































