Seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial ditahan bagi membantu siasatan selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja dalam satu kejadian yang mencetuskan kebimbangan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata lelaki berusia 39 tahun itu yang juga anak kepada pengasuh kanak-kanak berkenaan telah direman selama tujuh hari bermula 16 April sebelum disambung lima hari lagi sehingga 27 April bagi membantu siasatan lanjut.
“Pada 14 April, kira-kira 5 petang, seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka menerima mangsa dalam keadaan separuh sedar dan mendapati keputusan ujian saringan air kencing mangsa positif tetrahydrocannabinol.
“Ibu mangsa memaklumkan kepada pegawai perubatan bahawa mangsa diambil dari rumah pengasuh di Sungai Putat pada 11 April.
“Mangsa telah diberikan bantuan rawatan pernafasan melalui tiub di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menahan suspek kira-kira 9.30 malam pada 15 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Artikel lain: Baru 3 Bulan Bersalin, Wanita Dicekup Positif Dadah Bersama Suami
Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing ke atasnya adalah negatif.
Dalam perkembangan sama, kanak-kanak terbabit dilaporkan telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumahnya selepas menerima rawatan.
Sumber: BERNAMA
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.








































