Connect with us

Hi, what are you looking for?

Lokal

Bekas Pembantu Teresa Kok Didakwa Tipu Projek Sekolah, Terima Rasuah RM500,000

Bekas pembantu kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan membabitkan penipuan dan rasuah berjumlah RM500,000 yang didakwa berlaku dua tahun lalu.

Menurut laporan Utusan, tertuduh Edmund Teoh Kheng Yaik, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa menipu dengan memperdayakan Teresa supaya mempercayai bahawa hanya dua buah sekolah di kawasan Parlimen Seputeh memohon sumbangan papan pintar interaktif melalui My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat.

Foto: Utusan

Hakikatnya, sebanyak 16 sekolah telah mengemukakan permohonan tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh di Jalan Kuchai Lama pada Jun 2024. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Bagi pertuduhan kedua pula, Edmund didakwa menerima rasuah berjumlah RM500,000 daripada seorang individu bernama Ainuddin Aminuddin sebagai balasan membantu mendapatkan projek pembekalan papan pintar interaktif serta peralatan berkaitan untuk 16 sekolah terbabit melalui syarikat TMT IT Solutions milik isteri Ainuddin.

Perbuatan itu didakwa berlaku di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Kuchai Lama pada 12 Ogos 2024.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaluddin tidak menawarkan jaminan dengan alasan kes berkenaan tidak wajar dijamin namun sekiranya mahkamah membenarkan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM150,000 bersama seorang penjamin.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Pendakwaan turut memohon beberapa syarat tambahan termasuk penyerahan pasport, laporan berkala ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan serta larangan mengganggu saksi.

Foto arkib: Bernama

Peguam tertuduh, MN Lo pula merayu agar jumlah jaminan diringankan dengan mengambil kira tanggungan keluarga termasuk anak yang masih bersekolah, selain pendapatan bulanan sekitar RM3,000 hingga RM4,000.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah. Edmund turut diarahkan melapor diri di pejabat SPRM setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 3 Julai depan.

Sumber: Utusan (Nur Aimi Hazirah)

Advertisement. Scroll to continue reading.

Written By

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Kisah seorang pelajar yang pernah kerap tidak hadir ke sekolah akhirnya bertukar menjadi inspirasi apabila kini berjaya menjadi anggota bomba, hasil perubahan yang bermula...

Sosial

Seorang lelaki berkongsi luahan susulan tular dakwaan wajah isterinya mirip mangsa kes pembunuhan tragis, arwah Nurfisya Zulkifly yang dilaporkan berlaku di Kampung Simah, Ketereh,...

Lokal

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap Rosmaini Abdul Raof selepas mendapati hukuman terdahulu tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan...

Dunia

Seorang pengantin perempuan di Garut, wilayah Jawa Barat menjadi perhatian pengguna media sosial selepas menerima sebuah kebun kelapa sawit sebagai mas kahwin, lapor portal...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd