Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap Rosmaini Abdul Raof selepas mendapati hukuman terdahulu tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin @ Sylvester, lima tahun lalu.
Menurut laporan Harian Metro, panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan hukuman penjara 10 tahun yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Foto arkib: Media sosial
Ketika menyampaikan keputusan, Noorin menegaskan bahawa kes berkenaan bukan sekadar kes kecederaan biasa, sebaliknya melibatkan keganasan berterusan terhadap mangsa yang ketika itu sedang mengandung.
“Kes ini membabitkan kemusnahan dua kehidupan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tahap kecederaan yang dialami mangsa adalah sangat serius, melibatkan pendarahan otak, patah di beberapa bahagian tubuh serta kerosakan neurologi yang kekal sehingga menyebabkan mangsa berada dalam keadaan vegetatif dan bergantung sepenuhnya kepada penjagaan orang lain.
“Keterangan perbuatan menunjukkan kecederaan yang meluas dan dahsyat termasuk pendarahan otak, patah di beberapa bahagian serta kerosakan neurologi yang teruk. Keadaan mangsa tidak boleh dipulihkan dan bergantung sepenuhnya kepada orang lain.
“Keterangan impak keluarga mangsa sebagaimana dihujahkan juga amat menyayat hati. Mangsa digambarkan sebagai mayat hidup yang memerlukan penjagaan sepenuh masa selama bertahun-tahun tanpa sebarang harapan untuk pulih.
“Kesan daripada perbuatannya bukan saja menimpa mangsa, malah turut membabitkan anak yang dikandung ketika kejadian. Anak mengalami kelewatan perkembangan dan kecacatan akibat insiden itu,” ujarnya.

Foto arkib: Media sosial
Menurut mahkamah, hukuman maksimum wajar dikenakan bagi mencerminkan keseriusan kesalahan, selain memberi pengajaran dan mesej tegas terhadap perbuatan keganasan rumah tangga.
Terdahulu, pada 4 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen bertarikh 9 Disember 2024 yang mensabitkan Rosmaini dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun.

Foto arkib: Media sosial
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.
Rosmaini, 43, sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan pada 17 Jun 2021.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa dengan memukul pada bahagian kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki ke belakang badan sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin sekitar jam 6 pagi pada 4 Mei 2021.

Foto arkib: Media sosial
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman lebih berat termasuk penjara sehingga dua kali ganda daripada tempoh maksimum bagi kesalahan tersebut.
Sumber: Harian Metro (Raja Noraina Raja Rahim)







































