Malaysia berhasrat menjadi negara pembiak anjing pengesan K9 di rantau ASEAN menerusi pembangunan Pusat Operasi K9 di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Hasrat dilihat mampu direalisasikan JBPM
Memetik laporan daripada Bernama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mennyatakan hasrat itu mampu direalisasikan kerana JBPM memiliki pegawai berkemahiran tinggi dalam melatih anjing pengesan.
Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja dapat melahirkan lebih banyak anjing pengesan tempatan, malah membuka peluang Malaysia menjadi negara pengeksport K9 ke negara jiran.
“Dahulu, seekor anjing pengesan terlatih dan ada waranti kepakaran diimport daripada Birmingham dengan menelan kos hampir RM150,000.
“Wawasan saya, satu hari nanti kita boleh eksport ke United Kingdom dan menjadikan pusat (Operasi K9) sebagai pusat pembiakan di ASEAN, (dengan ini) kita boleh jual kepada Singapura, Thailand, Indonesia dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 bertemakan “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara” di Plaza Angsana hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu serta Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.
Sudah tiba Malaysia tak bergantung kepada negara luar
Dalam pada itu, Kor Ming berkata sudah tiba masanya Malaysia tidak lagi terlalu bergantung kepada negara luar bagi mendapatkan anjing pengesan K9.
Terdahulu ketika berucap, beliau memaklumkan JBPM merancang membangunkan Pusat Operasi K9 di Bertam, Pulau Pinang bagi melaksanakan program pembiakan domestik yang kini masih di peringkat reka bentuk dan perolehan tender.
Bagi tujuan itu, Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan RM2.4 juta untuk memperoleh 16 ekor anjing pengesan baharu dari United Kingdom.
Ketika ini, JBPM memiliki 34 ekor anjing pengesan dan masih memerlukan tambahan 56 ekor lagi bagi mencapai kapasiti operasi optimum.
Selain itu, beliau turut memaklumkan JBPM bakal menerima 6,000 pasang Fire Resistant Suit baharu menjelang Ogos ini yang akan diagihkan secara berperingkat kepada anggota bomba di seluruh negara.
Katanya, perolehan tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan RM437.2 juta yang diluluskan kerajaan Persekutuan tahun ini bagi memperkasakan aset, logistik dan kebajikan anggota JBPM.







































