Connect with us

Inspirasi

Jutawan Segera! Hidilyn Dapat Rumah, Kondo, Petrol & ‘Terbang’ Percuma Seumur Hidup

Kehidupan atlet angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz berubah sekelip mata selepas meraih pingat emas pertama buat negara itu dalam tempoh 97 tahun di acara Sukan Olimpik Tokyo, pada Selasa.

Menurut laporan Rappler, wanita berusia 30 tahun itu mendapat durian runtuh daripada golongan hartawan seperti dijanjikan sebuah kondominium, sebuah lagi rumah serta tanah serta ganjaran wang tunai RM2.7 juta daripada pihak kerajaan.

“Ini adalah detik paling epik dalam tempoh 97 tahun. Jadi inilah tanda kami menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada Hidilyn kerana membuat seluruh rakyat bangga dengan kejayaannya,” kata wakil hartawan Andrew Tan iaitu Kevin Tan.

Memetik kenyataan AirAsia Filipina pula, anak pengayuh beca itu bakal menikmati penerbangan percuma seumur hidup selepas melalui pelbagai penat lelah sehingga membuahkan hasil sekali gus mengharumkan nama negara.

Advertisement

“Hidilyn mengingatkan kita bahawa tidak kira seberapa ‘beban’ yang kita tanggung, kekuatan dalaman dan ketabahan akan membantu kita untuk berjaya,” kata jurucakap AirAsia Filipina, Steve Dailisan.

Bukan itu sahaja, mengikut laporan Manila Times, anggota Tentera Udara Filipina itu juga dilaporkan akan mendapat bekalan petrol percuma seumur hidup selain pelbagai lagi tawaran lain yang tidak masuk akal.

Terdahulu, Hidilyn yang memenangi pingat emas bagi acara angkat berat wanita kategori 55 kilogram turut menarik perhatian rakyat Malaysia kerana menjalani latihan di Jasin, Melaka sebagai persiapan sebelum ke Olimpik.

Sumber: Rappler , AirAsia Filipina , Manila Times

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Trending