Lelaki yang direman seminggu berhubung kes memperkosa anak tirinya dijangka berdepan 32 pertuduhan termasuk 11 kes rogol dan 12 kes melakukan amang seksual di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka esok.
Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 36 tahun itu direman untuk membantu siasatan kes rogol anak tirinya yang juga pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di Jasin.
Zainol berkata, siasatan sudah selesai sebelum dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) bagi mendapatkan arahan lanjut semalam.
“Suspek dituduh atas 11 pertuduhan rogol mangsa bawah umur mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan (KK) dan 12 tuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Suspek juga akan dituduh atas lapan pertuduhan mengikut Seksyen 377 CA KK iaitu melakukan perhubungan seks menggunakan objek dan satu pertuduhan rogol mengikut Seksyen 376(1) KK.
“Isteri suspek yang turut direman bagi membantu siasatan kes ini akan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan mendapati mangsa dirogol oleh suspek sejak awal Januari 2020 dan kejadian berlaku di bilik tidur remaja berkenaan pada tengah malam di rumah mereka di Taman Maju Jasin.
“Mangsa sedang tidur sebelum didatangi suspek yang bertindak menutup mulutnya dan merogol mangsa tanpa kerelaannya. Ketika kejadian ibu mangsa sedang tidur di biliknya,” ujarnya.
Difahamkan, ibu kandung mangsa mengetahui tentang perkara tersebut tetapi disyaki bersubahat menyembunyikan perbuatan jijik suspek.
Sumber: Berita Harian (Meor Riduwan Meor Ahmad)