Siapa sangka, berkat kesabaran dan kesungguhan seorang wanita berstatus nenek yang telah menghabiskan £11,000 (hampir RM60,000) bagi mendapatkan lesen memandu akhirnya membuahkan hasil selepas gagal sebanyak 960 kali.
Cha Sa-Soon,69, mula menjalani ujian bertulis pada April 2005, malangnya tidak berjaya. Namun, dia tidak berputus asa dan mengambil ujian semula pada setiap hari dalam lima hari seminggu sepanjang tempoh tiga tahun dengan jumlah keseluruhan 780 kali.
Selepas itu, Sa-Soon mengambil ujian sebanyak dua kali seminggu sebelum lulus dalam ujian bertulis buat kali ke-860 untuk mara ke peringkat ujian praktikal memandu.
Dia yang memiliki perniagaan sayur-sayuran turut berdepan dengan cabaran bagi lulus peringkat berkenaan bagi mendapatkan lesen memandu. Bagaimanapun, Sa-Soon lulus ujian memandu buat kali ke-10.
Berita mengenai kejayaan Sa-Soon memiliki lesen telah membuatkan tenaga pengajar di sekolah memandu berkenaan bersorak gembira.
“Sebaik sahaja dia berjaya memiliki lesen, kami semua bersorak gembira, memeluknya lalu memberikan hadiah bunga.
“Ia seolah-olah hilang rasa beban kerana kami tidak sanggup memberitahunya untuk berhenti berusaha setelah beratus-ratus kali mencuba,”ujar tenaga pengajar.
Kejayaan Sa-Soon memiliki lesen memandu turut mendapat perhatian media tempatan, Korea Selatan selain turut dihadiahkan sebuah kereta oleh sebuah syarikat jenama Hyundai.
Sumber: Reddit, Dailymail.co.uk