Pada Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Sidang Dewan Rakyat hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengharapkan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia yang terakhir sebelum baginda tamat pemerintahan pada awal tahun hadapan.
Harap PM terakhir dibawah pemerintahan baginda
Memetik video yang dikongsikan Bernama, Seri Paduka menyatakan yang baginda sama sekali tidak berniat mencampuri urusan politik negara apatah lagi mengatur lanskap politik Tanah Air, namun enggan episod lama berulang semula.
Kemelut boleh dielakkan jika semua ketepikan perbezaan
Mengikut pengamatan baginda, jika perletakkan Perdana Menteri Malaysia ke-7 tidak berlaku, boleh jadi kemelut politik yang melanda negara juga tidak akan terjadi dan Pilihan Raya ke-15 juga dapat dielakkan.
“Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika sekiranya ahli-ahli yang berhormat dan ahli politik negara bersedia untuk mengenepikan perbezaan.
“Bersatu padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat Beta dan negara yang kita cintai ini,” titah baginda.
Titah Al-Sultan Abdullah lagi, pada 31 Januari 2019, baginda telah melafazkan sumpah untuk sesungguhnya dan sebenarnya, akan taat setia menjalankan pemerintahan dengan seadil-adilnya bagi negara Malaysia dengan mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Baginda juga menyatakan yang hanya melaksanakan amanah serta janji yang dituntut seperti mana yang telah dilafaz dan diikrarkan.
“Sebenarnya, semenjak negara mencapai kemerdekaan 66 tahun yang lalu, kita telah menerima kemajmukan dan kepelbagaian yang wujud sebagai kekuatan utama negar
“Pada usia 66 tahun, kita sepatutnya telah matang untuk menjadikan perbezaan yang unik ini sebagai rencah utama dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang saling sayang menyayangi, menghormati antara satu dengan yang lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh,” baginda bertitah.
Untuk rekod, Seri Paduka telah dilantik untuk sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari 2019 dan tempoh lantikan adalah selama lima tahun bagi setiap penggal.
Sumber: Instagram Bernama