Sejak akhir-akhir ini, ramai di kalangan wanita muslimah telah menggunakan inai celup yang dijadikan sebagai perhiasan pada jari jemari dan kuku untuk kekal cantik serta berseri malah, mahu meningkatkan keyakinan diri.
Bagaimanapun, majoriti wanita masih meragui mengenai pemakaian inai ini kerana dikhuatiri inai yang dibeli dari penjual tidak kalis air sehingga sukar untuk ditanggalkan dan sekaligus menyebabkan ibadah seseorang yang tidak sah.
Bagi menjawab persoalan yang sering membelenggu dalam fikiran para wanita, pendakwah wanita terkenal, Ustazah Asma’ Harun tampil memberi penjelasan berkaitan soalan yang diajukan oleh seorang wanita menerusi laman akaun Facebook nya.
Ujarnya, sudah menjadi fitrah buat wanita yang suka memakai perhiasan selagi ia tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syarak mengenai hukum berhiasa bagi wanita.
Secara umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.
Majoriti penjual produk inai menggunakan bahan campuran dalam menghasilkan produk inai serta diperkenalkan dalam bentuk inai picit, inai celup dan lain-lain. Sebahagian pengeluar produk inai mengiktiraf bahawa produk mereka merupakan produk yang halal.
Akan tetapi, ramuan yang digunakan haruslah halal, bebas kimia, bebas lemak khinzir dan bebas daripada bahan-bahan lain yang tidak halal. Bagi memastikan ibadah seseorang sah atau tidak, ia perlu dirujuk kepada jenis inai yang digunakan, sama ada ia bersifat kalis atau telap kepada air.
Malah, ujian terhadap inai tersebut perlu dilakukan terlebih dahulu atau seseorang boleh membuat rujukan kepada JAKIM berkaitan produk inai yang digunakan.
Sekiranya diyakini bahawa setelah pemakaian produk inai dan ia masih meninggalkan kesan berserta zatnya (selaput) pada mana-mana anggota wuduk dan mandi wajib khususnya kuku, maka dapatlah difahami bahawa sifat produk tersebut adalah kalis air.
Jika inai tersebut sifatnya kalis air dan masih berbaki zatnya walaupun setelah dilakukan usaha yang sepatutnya untuk menghilangkannya, maka anggota itu pada asasnya dikira sebagai terhalang daripada sampai air.
Sehubungan dengan itu, tidak sah segala ibadat yang ada kaitan dengan taharah seperti solat yang telah dilakukan sebelum ini. Ini adalah kerana antara syarat sah solat ialah bergantung kepada sahnya wuduk dan mandi wajib.
Justeru pemakai yang terlibat, wajib untuk menghilangkan cat yang ada pada kuku tersebut dan mengqada’ solat-solat yang telah didirikan selama inai tersebut masih berada di kuku si pemakai.
Kesimpulannya, disarankan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu ini agar berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu produk yang ingin digunakan. Sekiranya produk tersebut diragui kesuciannya, menyebabkan syubhah dan khususnya membawa kepada terjejasnya hal ehwal ibadat, maka adalah lebih selamat untuk meninggalkannya.
Sumber: Facebook (Ustazah Asma’ Harun)