Pasangan selebriti tersohor Korea Selatan, Son Ye Jin dan Hyun Bin akhirnya selamat menimang cahaya mata sulung pada hari ini.
Khabar baik itu dimaklumkan menerusi sebuah kenyataan dari agensi Son Ye Jin sendiri iaitu MSteam Entertainment di mana ia menyatakan aktres berusia 40 tahun itu selamat melahirkan bayi lelaki.
“Son Ye Jin selamat melahirkan bayi lelaki, hari ini. Kedua-dua ibu dan anak berada dalam sihat,”ujar MSteam Entertainment dalam kenyataan.
Terdahulu, pasangan terkenal dengan drama berjudul Crash Landing On You itu mendedahkan mereka bakal menimang cahaya mata lelaki yang dijangka bakal dilahirkan pada Disember depan.
Berita gembira itu dimaklumkan sendiri oleh pihak agensi mereka serta mengatakan aktres yang berusia 40 tahun itu dalam keadaan baik.
Malah, pada Jun lalu, Son Ye Jin berkongsi mengenai berita kehamilannya kepada para peminat di laman Instagramnya.
Ujarnya, dia mengalami beberapa perubahan pada diri sendiri sebelum mendapat tahu bahawa dirinya sudah hamil selepas bebapa bulan mendirikan rumah tangga bersama Hyun Bin.
Sekadar info, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 31 Mac lalu secara tertutup di Aston Sheraton House, Grand Walkerhill Hotel di Seoul, Korea Selatan dengan dihadiri keluarga dan teman rapat selepas dua tahun menyulam cinta.
Sumber: Koreaboo