Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kolumnis

OIC Perlu Bertegas Tangani Isu Palestin

Konflik Palestin-Israel yang berlarutan sejak 7 Oktober menyaksikan peningkatan jumlah korban dan individu yang cedera. Terbaru, jumlah rakyat Palestin yang syahid sudah melebihi 11,000 orang dan angka ini akan terus meningkat dengan serangan semberono rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza yang terus dipertingkatkan. Gesaan agar gencatan senjata segera dilaksanakan seolah-olah tidak diendahkan oleh rejim Israel melalui Presidennya, Netanyahu yang menegaskan bahawa Israel tidak akan sesekali tunduk dengan gesaan untuk melakukan gencatan senjata malah akan teru mempertingkatkan serangan ke atas kawasan itu dengan alasan menghapuskan pejuang-pejuang Hamas.

OIC perlu bertegas tangani isu Palestin

Apa yang menyedihkan lagi, beberapa negara sekutu Israel terus mendokong tindakan Israel yang mensasarkan orang awam termasuk petugas-petugas kesihatan. Dalam siri serangan terbaru, rejim Zionis mensasarkan beberapa kawasan seperti hospital, sekolah dan masjid yang turut menjadi tempat perlindungan orang awam. Bagi pihak Majlis Keselamatan PBB, mesyuarat tergempar kali ke-6 untuk membincangkan krisis yang berlaku juga dilihat tidak membuahkan hasil apabila berlaku penolakan daripada beberapa negara pro-Israel yang menentang cadangan resolusi yang dikemukakan. Sebelum itu, 4 draf resolusi telah ditolak oleh Majlis Keselamatan PBB yang dalam masa yang sama menyaksikan jumlah korban di pihak Palestin terus meningkat saban hari.

Dunia Islam pula masih ternanti-nanti apakah tindakan segera yang dapat dibuat oleh kesatuan utamanya melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Kedudukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagai organisasi antarabangsa penting bagi 57 negara Islam dan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi dilihat tidak memainkan peranan yang signifikan di tengah-tengah konflik yang tercetus. Krisis telah berlarutan lebih sebulan dan angka korban juga terus meningkat, namun OIC masih belum mengambil langkah proaktif sebagai pembela perjuangan Palestin. OIC sekali lagi dilihat gagal menunjukkan taring dalam sidang kemuncak di Riyadh pada 11 November 2023 apabila sesi persidangan yang berlangsung gagal menatijahkan sebarang bentuk tindakan yang tuntas dan tegas bagi menangani konflik dan dianggap tidak serius dalam mempertahankan kedaulatan Palestin sebagai negara sah.

Foto: AFP

Malaysia menerusi YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali ke-8 di Riyadh, Arab Saudi. Semasa sidang kemuncak itu, YAB Perdana Menteri menyatakan pendirian tegas Malaysia mengenai usaha segera untuk menamatkan tindakan pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, dengan krisis kemanusiaan masih berlarutan, serta keperluan utama bagi negara anggota OIC dan seluruh masyarakat antarabangsa untuk membantu menangani nasib dan penderitaan rakyat Palestin.

Melihatkan kepada kepincangan OIC bagi menangani krisis yang berlaku, Malaysia menerusi ucapan tegas Datuk Seri Anuwar Ibrahim dilihat perlu memainkan peranan penting bagi mengetuai proses rundingan dan kerjasama pelbagai pihak bagi menyelesaikan konflik yang tercetus. Hubungan baik antara Malaysia dengan beberapa negara anggota OIC sepatutnya dijadikan peluang untuk sama-sama menggerakkan kempen menangani konflik. Bagi negara-negara Arab khususnya yang mempunyai hubungan normalisasi dengan Israel perlu segera bertindak memutuskan hubungan dan memanggil kembali duta negara masing-masing.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Hubungan normalisasi Arab-Israel yang terjalin sebelum ini jelas menunjukkan bahawa tiada sebarang kebaikan yang diperoleh rakyat Palestin sebaliknya kekejaman Zionis pula semakin meningkat. Mesir yang dahulunya menjadi peneraju utama gerakan konfrontasi Arab -Israel sejak 1948 perlu memainkan peranan yang sewajarnya dengan membuka kembali pintu-pintu sempadan bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Negara-negara Islam khususnya dalam kalangan Liga Arab perlulah menyedari agenda sebenar disebalik percaturan blok Barat ke atas Timur Tengah. Mereka sepatutnya tidak menjadi lidah Yahudi dan mengikut telunjuk dan tekanan Israel, US dan Kesatuan Eropah.

Peluang untuk menyekat sebarang bentuk kontrak kepada syarikat Israel atau syarikat yang menyokong Israel perlu dilaksanakan segera bagi menghukum kekejaman yang tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk Palestin. Sebagai alternatif, negara-negara keanggotaan OIC perlu mewujudkan perancangan khusus bagi mengukuhkan ekonomi sesama negara Islam sebagai persediaan di atas sebarang bentuk tindakan balas negara Barat dari aspek ekonomi disebabkan pendirian tegas terhadap Israel.

Negara-negara OIC yang merupakan pengeluar minyak utama seperti Arab Saudi, UAE, Kuwait, Bahrain, Qatar dan lain-lain seharusnya didesak supaya menggunakan softpower yang mereka ada iaitu dengan berhenti menyalurkan minyak kepada negara haram Israel dan negara-negara sekutu mereka sebagai tanda protes terhadap penganiayaan berterusan kepada warga Palestin oleh rejim Israel. Tidak cukup sekadar itu, negara-negara OIC perlu bertindak menghalang sebarang penerbangan yang dilakukan oleh syarikat penerbangan Israel dari terbang ke negara mereka.

Ketetapan juga harus dibuat oleh semua negara OIC untuk mengutuk Israel di parlimen negara masing-masing sebagai langkah solidariti berterusan bersama Palestin. Langkah ini juga merupakan advokasi berterusan kepada rakyat di setiap negara OIC supaya pemimpin negara-negara Islam tidak dilihat lemah dan lesu dalam menanggapi isu kemanusiaan ini. OIC juga perlu lebih proaktif dalam usaha menyeret Israel ke mahkamah keadilan antarabangsa untuk dijatuhkan hukuman di atas tindakan genocide dan pencabulan hak asasi manusia yang telah dan sedang dilakukan mereka.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Melalui sidang kemuncak tergempar OIC ini, mereka dilihat telah menghantar Sekretariat Agung OIC dan Liga Arab untuk memerhati dan mengambil tindakan susulan terhadap pelaksanaan siasatan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan oleh pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) serta telah menubuhkan 2 unit pemantauan undang-undang khusus untuk menyalurkan segala informasi dan dokumen jenayah yang telah dilakukan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober. Kita tidak mahu OIC hanya bertindak dengan cara tunggu dan lihat seperti yang sering dimomokkan bahawa mereka hanya mampu berkata “Oh, I see” sahaja tanpa tindakan secara tegas.

OLEH:

Profesor Dr. Mohd Roslan Mohd Nor

Ketua, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Mohamad Fikri Mohd Bakri

Penyelidik Pasca Siswazah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Profesor Dr. Mohd Roslan Mohd Nor adalah Ketua, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; manakala Mohamad Fikri Mohd Bakri adalah Penyelidik Pasca Siswazah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Continue Reading
Advertisement
Advertisement

Artikel Menarik Lain

Lokal

DSAT Group bakal mengambil tindakan undang-undang saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor. Menerusi satu hantaran di Facebook Pengerusi Eksekutif...

Lokal

Tular di media sosial luahan seorang kakitangan badan penyiaran milik kerajaan, RTM yang mendakwa dirinya bersama beberapa rakan sekerja lain sudah beberapa bulan tidak...

Nasional

Berhubung cadangan bagi menghentikan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi kursus universiti yang mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman kurang 30 peratus, pihak...

Spotlight

Kumpulan K-Pop terkenal, 2NE1 telah berjaya terbang ke Manila, Filipina, pada Sabtu dan Ahad lalu bagi konsert jelajah Asia yang mendapat sambutan luar biasa...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by OMM Media Sdn Bhd