Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim meminta pejabatnya untuk menghubungi pempengaruh Zhiddin Aziz bagi mengaturkan pertemuan mereka berdua dalam minggu akan datang.
Ia berhubung isu semasa Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan 2023, baru-baru ini sehingga meraih perhatian ramai.
Adam Adli berkata, isu tersebut telah menyebabkan terlalu banyak perkara berbentuk spekulasi timbul sehingga menglibatkan banyak pihak.
“Memandangkan terlalu banyak perkara yang berbentuk spekulasi timbul sehingga mengheret banyak pihak, saya kira adalah baik agar pertemuan diadakan untuk rungkai isu ini secara baik.
“Saya sudah minta pejabat untuk hubungi Zhiddin dan segera aturkan pertemuan antara kami dalam minggu akan datang ini,”katanua menerusi ciapan di platform X, semalam.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata pihaknya memahami perasaan dan ketidakpuasan hati Zhiddin berkait isu itu.
Malah, Zhiddin yang juga anak Ikon Penyiaran, Allahyarham Aziz Desa bebas untuk meluahkan perasaan menerusi medium pilihannya.
“Zhiddin ada potensi yang baik sebagai contoh buat golongan belia. Banyak ruang yang tersedia buat beliau, malah beliau sendiri berhasil cipta ruang sendiri,” katanya lagi.