Baru-baru ini, dunia telah dikejutkan dengan tragedi kebakaran hutan di Hawaii, Amerika Syarikat sehingga mengorbankan nyawa penduduk setempat.
Difahamkan juga, pasukan penyelamat mendedahkan pada setiap hari mereka menemukan lebih 10 hingga 20 mayat malah, Gabenor tempatan, Josh Green berkata, setakat Ahad lalu, jumlah kematian meningkat kepada 100 orang sekali gus menjadikannya tragedi kebakaran hutan AS paling maut dalam tempoh lebih satu abad.
Jelasnya lagi, pihaknya memerlukan masa sehingga 10 hari bagi mengetahui jumlah sebenar kematian dan menjangkakan lebih ramai mangsa yang terlibat.
“Jumlah mangsa hilang, kira-kira 1,300 orang.Hampir keseluruhan bandar Lahaina musnah dalam kebakaran itu.
“Tiada apa yang dapat dilihat kecuali kemusnahan teruk. Buat masa ini, memang sukar mengenali mana-mana mangsa yang ditemukan,” ujarnya.
Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (Fema) memaklumkan pihaknya menggunakan beberapa ekor anjing bagi membantu mencari dan mengesan mangsa.
“Sebanyak 10 anjing pengesan dikerahkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Fema dalam misi ini. Beberapa juga dihantar dari Jabatan Bomba California Selatan,” kata agensi itu kepada CNN.
Sehingga kini, punca kebakaran hutan masih tidak dapat dikenal pasti namun, satu saman difailkan terhadap pembekal elektrik terbesar Hawaii, Hawaii Electric yang mendakwa talian kuasa syarikat terputus hingga menyumbang kepada kebakaran hutan.
Dalam pada itu, menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pengguna @nrmalaputri26 di laman TikToknya, kelihatan penduduk setempat terpaksa terjun ke dalam laut berhampiran untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran dan asap yang tebal.
@nrmalaputri26 pray for hawaii #hawai #kebakaranhutan #lahaina #lahainahawaii #lahainafire
Semoga penduduk Hawaii selamat
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen sedunia mendoakan agar urusan mangsa dipermudahkan dan berharap pihak penyelamat dapat mengawal kebakaran daripada terus merebak.
Sumber: Utusan Malaysia, TikTok @nrmalaputri26