Seramai 732 Ketua Isi Rumah (KIR) di Perak berjaya keluar daripada status miskin tegar setakat 31 Disember 2025, sekali gus mencapai sasaran sifar miskin tegar di negeri itu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kejayaan tersebut adalah hasil pendekatan bersepadu yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam memastikan golongan B40 dan miskin tegar tidak tercicir daripada menerima bantuan.
Menurutnya, usaha berkenaan membuahkan hasil membanggakan apabila intervensi dilakukan secara menyeluruh dan berfokus.
“Pendekatan merangkumi penggunaan sistem eKasih sebagai pangkalan data utama, selain diperkukuh melalui program turun padang seperti Ziarah Kasih serta pemantauan berterusan di peringkat daerah.
“Dalam menilai keberkesanan program bantuan pula, Kerajaan Negeri menggunakan indikator yang jelas, berasaskan data serta mengambil kira impak sebenar terhadap kehidupan penerima dan bukan sekadar jumlah bantuan yang disalurkan,” ujarnya lagi.
Selain itu, seramai 11,648 KIR atau 45 peratus turut berjaya keluar daripada status miskin, sekali gus melepasi sasaran nasional sebanyak 33 peratus.
Artikel lain: Malaysia Hampir Noktahkan Miskin Tegar, Bukti Taraf Hidup Rakyat Makin Baik!
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan pendekatan baharu menerusi Program One Stop Centre Sejahtera Sosial 2026 yang memberi tumpuan kepada intervensi berasaskan keluarga secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir pada Persidangan Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Sumber: Berita RTM
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.








































