Connect with us

Hi, what are you looking for?

Lokal

Remaja 13 Tahun Jadi Mangsa Rogol, Tiga Sekawan Didakwa Di Mahkamah

Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di kawasan semak serta sebuah rumah terbengkalai di sekitar Kuala Krai pada hujung bulan lalu.

Rogol remaja 13 tahun

Kesemua tertuduh iaitu Zamarul Hisyam Mohd. Zamzuraidi, 18, Mohamad Aiman Firdaus Nazri, 24, dan Muhammad Hakimi Razlan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun 11 bulan ketika kejadian berlaku.

Zamarul Hisyam didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan semak di tepi jalan Kampung Ragu, Manek Urai, Kuala Krai kira-kira jam 10.30 malam pada 27 Mei lalu.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Sementara itu, Mohamad Aiman dan Muhammad Hakimi pula didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah rumah terbengkalai di Kampung Sungai Tias, Laloh, Kuala Krai pada kira-kira jam 1 pagi dan 1.30 pagi, 28 Mei lalu.

Ketiga-tiga tertuduh berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Selain itu, Mohamad Aiman dan Muhammad Hakimi turut didakwa melakukan sentuhan fizikal terhadap mangsa yang sama di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan tersebut, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 14 akta sama.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim, manakala peguam Muhammad Yusoff Abdullah mewakili Zamarul Hisyam, dan Mohamad Aiman serta Muhammad Hakimi diwakili peguam Muhammad Izzat Hasizan.

Sebelum ini, Nur Kamilah tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Dalam hujahan pembelaan, Muhammad Yusoff memohon jaminan minimum diberikan kepada anak guamnya yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia beberapa bulan lalu.

“Tertuduh juga bercadang untuk menyambung pelajarannya tidak lama lagi. Jadi, saya mohon jaminan yang minimum mengambil kira faktor kewangan keluarga tertuduh yang hanya bergantung kepada bapanya sebagai buruh kampung dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan,” katanya.

Peguam Muhammad Izzat Hasizan pula memohon agar jaminan minimum turut dipertimbangkan bagi dua lagi anak guamnya.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Mohamad Aiman mencari rezeki dengan membantu bapanya melakukan kerja membuat rumah manakala Muhammad Hakimi pula mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing.
“Kedua-dua tertuduh berjanji mematuhi segala arahan yang ditetapkan sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap mereka,” jelasnya.

Artikel lain: Terbongkar Melalui Mesej, Polis Tahan Pesara Disyaki Rogol Cucu Sendiri

Mahkamah kemudian membenarkan Zamarul Hisyam diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu saksi dan mangsa serta perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Bagi Mohamad Aiman dan Muhammad Hakimi, mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang sama dikenakan.

Kesemua tertuduh telah membayar jumlah ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Sumber: Kosmo (Muhammad Ayman Ghaffa)

Ditulis oleh

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Pempengaruh media sosial terkenal, Alieff Irfan bersama rakan-rakannya dari AI Team dikecam selepas didakwa membuat lawak parodi yang dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW. Kontroversi...

Sukan

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah menyifatkan Muhammad Hakim Danish Ramli sebagai antara prospek terbaik sukan permotoran negara ketika ini kerana memiliki kemampuan untuk bersaing...

Nasional

Warganegara Malaysia bakal menikmati pasport dengan tempoh sah laku sehingga 10 tahun pada kadar bayaran RM350 yang dijangka dilaksanakan tahun ini. Ketua Pengarah Imigresen,...

Dunia

Pemerintah Brunei mengumumkan rombakan Kabinet secara besar-besaran dengan mewujudkan portfolio utama baharu serta melantik dua puteranya sebagai menteri, lapor portal berita Al-Monitor. Rombakan tersebut...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd