Kecemerlangan dalam pendidikan bukan sekadar menjadi kebanggaan keluarga, malah mencerminkan komitmen, disiplin dan daya juang tinggi yang diterapkan dalam kalangan anak-anak warga Kementerian Pertahanan.
Pencapaian ini diraikan menerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2026, yang menjadi platform penghargaan terhadap kejayaan akademik anak-anak warga pertahanan yang telah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025.
Majlis yang berlangsung dengan penuh penghormatan dan penghargaan ini turut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam mengiktiraf kecemerlangan pendidikan sebagai asas penting dalam pembangunan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing.
Bagi penerima Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Harith Irfan Hairul Nizam, dia menyifatkan kejayaan yang diraih bukan sekadar pengiktirafan akademik, malah menjadi titik permulaan kepada perjalanan baharu dalam bidang pengajian tinggi.
Harith yang kini menerima tawaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi kursus Asasi Pengurusan dan Strategi mengakui bahawa peluang tersebut merupakan antara impian yang telah lama disemat sejak di bangku sekolah.
Menurutnya lagi, bantuan yang diterima melalui inisiatif ini akan dimanfaatkan sebaiknya sebagai persediaan memasuki alam universiti.
“Dengan bantuan yang diberikan, saya gunakan untuk membeli kelengkapan asrama dan barang keperluan bagi memudahkan urusan saya di sana.
“Saya rasa sangat gembira kerana ini merupakan salah satu target saya sejak dari sekolah lagi,” katanya ketika ditemui di majlis tersebut di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, hari ini.
Manakala bagi penerima Bantuan Universiti Awam, Muaz Nazmi Monarizzal berkata, peluang melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan merupakan satu langkah penting dalam merealisasikan cita-cita sebagai seorang pendidik.
Muaz yang kini mengikuti pengajian dalam bidang Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau, melihat bidang perguruan sebagai platform untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Minat yang mendalam terhadap dunia pendidikan mendorong beliau memilih laluan tersebut sebagai kerjaya masa depan.
Bantuan Universiti Awam yang diterimanya disifatkan sebagai sokongan bermakna dalam meneruskan pengajian. Selain membantu menampung keperluan asas sebagai pelajar, bantuan tersebut turut memberi ruang kepada beliau untuk merancang perbelanjaan pengajian dengan lebih baik, termasuk urusan perjalanan bagi kembali ke kampus.
“Alhamdulillah, saya rasa hari ini merupakan satu penghargaan bagi diri saya dapat menerima Bantuan Universiti Awam ini. Saya gunakan bantuan tersebut untuk membeli tiket penerbangan untuk melanjutkan pengajian nanti,” katanya.
Muaz turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu anak-anak warga pertahanan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada MINDEF kerana memberi sumbangan ini. Saya harap ia dapat diteruskan bagi membantu meringankan beban pelajar universiti,” tambahnya lagi.
Sementara itu, menurut Putri Ahlam Haneem pula, bantuan yang diterima disifatkan sebagai satu pengiktirafan bermakna selepas melalui pelbagai usaha dan pengorbanan dalam mengejar kecemerlangan akademik.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di Universiti Malaya (UM) itu berkata, peluang untuk menerima bantuan tersebut bukan sesuatu yang mudah dan menjadi simbol penghargaan atas kerja keras yang telah dilalui sepanjang pengajian.
“Bukan senang dapat peluang macam ini. Saya sudah bertungkus-lumus ke tahap ini dan berharap kecemerlangan ini menjadi tanda penghargaan kepada diri saya, beserta hadiah untuk terus semangat belajar dan menjadi insan yang terbaik untuk menyumbang semula pada masa hadapan,” katanya.
Putri Ahlam turut berkongsi bahawa bantuan yang diterima akan dimanfaatkan sebaiknya sebagai persediaan masa depan, termasuk untuk simpanan jangka panjang serta keperluan kelengkapan pembelajaran.
“Saya akan laburkan dalam ASB untuk simpanan masa hadapan ataupun beli barangan kelengkapan,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin memaklumkan, Majlis AKP ATM disifatkan sebagai tanda pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang anak-anak warga pertahanan, khususnya dalam peperiksaan SPM serta mereka yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan luar negara.
Beliau berkata, penganjuran program ini bertujuan memberi penghargaan bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga kepada anggota ATM dan keluarga mereka yang menjadi tulang belakang kejayaan anak-anak.
“AKP ini ialah program signature Kementerian Pertahanan yang dilaksanakan bersama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Ia bertujuan untuk pengiktirafan dan penghargaan kepada para pelajar cemerlang, khususnya anak-anak ATM yang cemerlang dalam SPM 2025 serta yang ditawarkan ke universiti,” kata Mohd Nizar.
Beliau turut menjelaskan bahawa bantuan yang disalurkan melalui program ini diberikan dalam bentuk inisiatif one-off mengikut pencapaian pelajar.
“Mereka yang berjaya mendapat 5A ke atas diberikan RM100 bagi setiap A. Manakala yang ditawarkan ke universiti awam menerima RM1,000, dan mereka yang ke universiti luar negara menerima RM2,000,” ujarnya.
Tambah beliau, pada tahun ini seramai 606 penerima diraikan melibatkan dua kategori utama iaitu 435 pelajar SPM serta selebihnya pelajar yang melanjutkan pengajian ke universiti awam dan luar negara. Program ini turut diperluaskan sebagai sebahagian usaha memperkukuh akses pendidikan.
“Harapan kami ialah agar insentif ini menjadi lonjakan motivasi kepada anak-anak anggota tentera supaya mereka lebih cemerlang, berfokus dalam menuntut ilmu, serta menjadi suri teladan kepada keluarga dan generasi pertahanan akan datang,” katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MINDEF akan terus memperkukuh masa depan generasi warga ATM melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan berimpak tinggi.
Dalam majlis sama, Mohamed Khaled turut menyampaikan Bantuan Universiti Awam kepada 32 penerima serta Bantuan Universiti Luar Negara kepada 5 penerima yang bakal melanjutkan pengajian ke menara gading, sebagai usaha meringankan beban kewangan keluarga warga pertahanan dan memastikan kesinambungan pendidikan generasi pelapis negara.
“Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan keluarga warga pertahanan, sekali gus memastikan kesinambungan pendidikan generasi pelapis negara sentiasa terpelihara,” ucap beliau.
Bagi tahun 2026, MINDEF memperuntukkan dana keseluruhan berjumlah RM464,400 yang memberi manfaat secara langsung kepada 605 penerima, merangkumi bantuan pendidikan dan insentif kecemerlangan akademik.
Daripada jumlah tersebut, RM166,000 diperuntukkan kepada 159 penerima melalui bantuan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam dan Universiti Luar Negara, manakala RM298,400 disalurkan kepada 446 pelajar cemerlang melalui Insentif Akademik AKP SPM 2026.
Jelasnya, insentif ini bukan sekadar bantuan kewangan sebaliknya merupakan pengiktirafan khas dan suntikan motivasi kepada calon cemerlang SPM 2025 bagi memastikan kecemerlangan akademik terus diperkukuh.
“Inisiatif ini adalah pengiktirafan khas dan suntikan motivasi kepada pelajar cemerlang SPM 2025,” jelasnya.
Pelaksanaan program ini turut disokong oleh Yayasan LTAT yang bertanggungjawab menyelaras keseluruhan inisiatif pendidikan, termasuk intervensi akademik secara holistik serta pembangunan kerjaya jangka panjang bagi anak-anak warga kerja MINDEF dan ATM.
Malah, pelaksanaan agenda pendidikan berskala besar ini adalah selaras dengan Fokus Keenam MINDEF Tahun 2 yang menekankan kebajikan serta pemerkasaan sosioekonomi warga pertahanan sebagai teras utama pembangunan.
“MINDEF bertekad membuka ruang mobiliti sosial yang lebih luas bagi membantu generasi muda komuniti pertahanan membina masa depan yang cemerlang dan berdaya saing di peringkat domestik dan global,” tambah Mohamed Khaled lagi.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Eksekutif Yayasan LTAT Dato’ Dr. Mohd Nizar Sudin, serta pegawai-pegawai kanan MINDEF dan ATM bersama keluarga penerima anugera







































