Seorang pempengaruh mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang wanita sehingga mengalami kerugian RM80,000, tahun lalu.
Menurut laporan Harian Metro, tertuduh Mikhail Isaaq Mohd Rodzi didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu Tan Mei Lan, 58, untuk menyerahkan wang berjumlah RM80,000 kononnya sebagai modal perniagaan jualan kosmetik.

Foto: Carian Facebook
Tertuduh turut didakwa menjanjikan mangsa jawatan rakan kongsi di Syarikat Two M Legacy, dengan tawaran gaji RM10,000 sebulan serta imbuhan 10 peratus daripada keuntungan bulanan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 3.30 petang, 21 Mei 2025, di Bank Muamalat, Presint 15, Putrajaya.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, selain sebatan serta denda.
Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail, memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan.
“Tertuduh berusia 31 tahun, sudah berkahwin, ada dua anak berusia dua tahun dan empat tahun. Tertuduh tidak bekerja, manakala isterinya baru berniaga untuk sara hidup keluarga,” katanya.

Foto: Harian Metro
Majistret Ezrene Zakariah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 9 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen berkaitan.
Sumber: Harian Metro (Rafidah Mat Ruzki)







































