Tindakan membawa pulang air zamzam dalam kuantiti yang banyak untuk dijadikan buah tangan boleh mengundang masalah apabila bagasi jemaah ditahan atau dibuka oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk pemeriksaan.
Peringatan diberi setiap tahun
Memetik laporan daripada bernama, Timbalan Pengarah Operasi Pengendalian Jemaah Haji, Mohd Ridzuan Yusoff menyatakan walaupun peringatan diberikan setiap tahun, masih terdapat segelintir jemaah yang cuba membawa pulang air zamzam dengan menyembunyikannya di dalam bagasi.
Tindakan langgar peraturan syarikat penerbangan
Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja melanggar peraturan syarikat penerbangan dan pihak berkuasa Arab Saudi, malah boleh menyebabkan bagasi ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
“Ada yang beranggapan air zamzam boleh disorok dengan membungkusnya menggunakan pelbagai bahan, namun apabila bagasi melalui proses saringan, kandungannya tetap dapat dikesan.
“Apabila perkara itu berlaku, bagasi akan dibuka oleh pihak berkuasa untuk pemeriksaan, dan barangan di dalamnya mungkin tidak dapat disusun semula seperti keadaan asal,” katanya kepada pemberita ketika melaksanakan operasi City Check-In (CCI), di sini hari ini.
Mohd Ridzuan memaklumkan situasi itu turut meningkatkan risiko barangan peribadi jemaah tercicir atau rosak sekiranya bagasi perlu dibuka untuk pemeriksaan.
Sehubungan itu, beliau menasihati jemaah agar mematuhi semua peraturan yang ditetapkan dan tidak mengambil risiko semata-mata untuk membawa pulang lebih banyak air zamzam.
Sumber: Bernama







































