Universiti Malaya (UM) hari ini menafikan dakwaan yang mengaitkan fasiliti imbasan Positron Emission Tomography-Computed Tomography (PET-CT) di Unit Perubatan Nuklear, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan risiko radiasi berbahaya kepada pekerja dan pesakit.
Dalam kenyataan rasmi, UM menegaskan operasi imbasan PET-CT dijalankan mengikut piawaian keselamatan ketat serta tahap pendedahan radiasi yang terkawal dan mematuhi standard ditetapkan.
“Semua pekerja sinaran juga diwajibkan memakai dosimeter peribadi,” menurut kenyataan itu.
Menurut UM, rekod pemantauan menunjukkan tahap dedahan radiasi dalam kalangan pekerja adalah jauh lebih rendah daripada had dos yang diwartakan, selain pemeriksaan kesihatan berkala turut dilaksanakan secara konsisten mengikut jadual.
Terdahulu, seorang bekas juru X-ray di PPUM mendakwa berlaku pelanggaran serius prosedur keselamatan radiasi di unit berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan kakitangan dan pesakit.
Bekas kakitangan itu, Nur Fauzia Abdul Razak, 35, yang kini disahkan menghidap Kanser Hodgkin’s Lymphoma tahap empat, mendakwa terpaksa dibersarakan awal kerana keadaan kesihatan yang semakin merosot.
“Saya terpaksa dibersarakan awal kerana tidak lagi mampu bekerja dan masih menjalani rawatan kemoterapi,” katanya.
Beliau turut mendakwa telah menjalani lebih 20 kitaran kemoterapi dan mengaitkan penyakit dialami dengan kesan pendedahan radiasi jangka panjang atau stochastic effect.
Mengulas dakwaan itu, UM menegaskan PPUM mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) Program Perlindungan Sinaran serta semua peraturan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).
Antara peraturan yang dipatuhi termasuk Peraturan-Peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Perlindungan Sinaran Keselamatan Asas) 2010 serta Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Radioaktif 2011.
Menurut UM lagi, pengurusan sisa radioaktif sentiasa dipantau rapi dan dilaksanakan dengan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Tambahnya, pemeriksaan oleh Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP), Kementerian Kesihatan (KKM) pada Oktober tahun lalu mendapati tiada pelanggaran prosedur dikesan.
“Lawatan pemeriksaan lesen secara tahunan oleh pihak penguat kuasa BKRP turut dilaksanakan mengikut keperluan dan pematuhan yang ditetapkan,” katanya.
Artikel lain: Isu Persembahan Teater: UM Tampil Beri Penjelasan, Mohon Maaf-“Tak Selaras Skrip Asal”
UM turut menegaskan PPUM sentiasa bersedia untuk diperiksa oleh pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap semua peraturan dan piawaian keselamatan.
“Pihak pengurusan memberi jaminan bahawa persekitaran kerja yang membabitkan radiasi adalah selamat dan sentiasa diawasi oleh badan kawal selia bertauliah serta menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan spekulasi tidak berasas yang boleh menimbulkan keresahan awam,” katanya.
Tambah UM, aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan warga kerja serta orang ramai sentiasa menjadi keutamaan PPUM.
Sumber: Harian Metro (Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid)









































