Connect with us

Hi, what are you looking for?

Sosial

Mesin Padi Terjunam Dalam Sungai: Remaja Lelaki Ditemui Lemas, Bapa Reda Wajah Anak Bersih & Tenang

Jasad penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Muhammad Amsyar Muqri Masri, 18, ditemui pada hari kedua operasi selepas hilang dalam insiden mesin padi terhumban ke sungai Kampung Sanglang, dekat sini pada Sabtu.

Mangsa dijumpai pada jam 10.01 pagi kira-kira 10 meter dari lokasi awal kejadian pada kedalaman empat meter oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang melakukan selaman di dasar sungai.

Ketua BBP Jitra, Noor Azhar Tajudin berkata, operasi hari kedua bermula jam 8.30 pagi dengan pencarian dijalankan dalam radius 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Operasi membabitkan 41 anggota termasuk bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan bantuan empat bot penyelamat.
“Mayat mangsa telah dibuat pengecaman oleh waris di lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau memaklumkan, jasad mangsa berjaya dikesan selepas mesin padi yang terjatuh ke sungai diangkat menggunakan kren pada jam 11 malam Sabtu.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Kita memperluaskan pencarian mangsa pada Ahad sejak mangsa dilaporkan hilang semalam (Sabtu).
“Operasi Pusat Kawalan Bomba (PKB) Sanglang ditutup sepenuhnya pada jam 10.53 pagi,” katanya.

Remaja Lelaki Ditemui Lemas

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan penemuan mayat mangsa.

Menurutnya, laporan berhubung kes diterima jam 3.45 petang Sabtu selepas sebuah jentera mesin padi terjatuh ke dalam sungai berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, Air Hitam.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu jentera mesin padi bersama tiga rakannya selesai menuai padi.
“Difahamkan, semasa menaikkan jentera itu, pemandu telah terlajak dan menjunam masuk ke dalam sungai. Mangsa lain berjaya berenang ke tepi namun mangsa yang maut dilihat terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus,” katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan seorang remaja dikhuatiri lemas manakala tiga rakannya selamat selepas mesin padi yang dinaiki mereka terjatuh ke sungai berhampiran SMK Sanglang.

Bapa mangsa, Masri Hassan, 43, meluahkan rasa syukur apabila jasad anak sulung daripada dua beradik itu akhirnya ditemukan.

“Alhamdulillah! Jumpa juga anak saya,” katanya dipetik Kosmo! Online. 

Artikel lain: Kereta Terjunam Dalam Sungai: Dua Beradik Maut, Ibu Bapa Selamat

Bekas tentera itu memberitahu, dia tidak berganjak dari lokasi kejadian sejak semalam dan hanya pulang ke rumah di Sungai Korok, Jitra untuk menunaikan solat sebelum kembali semula ke lokasi.

“Pagi ini saya pulang untuk solat Subuh dan buat solat hajat berdoa supaya anak saya ditemukan secepat mungkin. Saya dan keluarga reda serta menerima seadanya apa yang menimpa anak kami ini.
“Alhamdulillah, pagi ini anak kami ditemukan. Bersih wajahnya nampak tenang sahaja,” katanya sebak.

Difahamkan, mangsa mengikuti tiga rakan sekampungnya ke lokasi itu kerana bercuti tiga hari sempena Maulidur Rasul serta cuti hujung minggu.

Sumber: Kosmo! Online (Jamliah Abdullah), Sinar Harian (Roslinda Hashim), FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah

Advertisement. Scroll to continue reading.

Farah Nadia
Written By

Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Lokal

Bapa kepada pelajar lelaki berusia 15 tahun yang menjadi mangsa kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di sini pagi tadi menyifatkan insiden itu sebagai...

Sukan

Cristiano Ronaldo mengesahkan bahawa Piala Dunia 2026 akan menjadi penampilan terakhirnya di pentas paling berprestij bola sepak dunia itu, ketika kapten Portugal itu bersiap...

Sosial

Bahang terik mentari tidak menghalang seorang warga emas berusia 86 tahun sanggup mengayuh beca sejauh hampir satu kilometer semata-mata untuk menunaikan hajat isterinya bertemu...

Sukan

Bintang sensasi Brazil, Neymar, mengumumkan pengakhiran karier antarabangsa selepas negaranya tersingkir di pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 apabila tewas 2-1 kepada Norway di...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd