Polis mengesahkan kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih, Tapah sejak 24 Mei lalu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur pinjaman along.
Tiada kaitan jenayah along
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes berkenaan.
“Tiada unsur (pembabitan) along, tiada unsur jenayah membabitkan wanita yang hilang, saya minta supaya tak perlu dihebohkan perkara itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, hari ini.
Dalam perkembangan operasi, Abdul Malik memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda akan diteruskan dalam skala kecil bermula esok.
Beliau berkata keputusan itu dibuat hasil mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Pegawai Daerah Tapah, dengan kehadiran pelbagai agensi penyelamat pada jam 2 petang tadi.
Tambahnya, seramai 116 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor telah terlibat sepanjang 11 hari operasi SAR yang bermula sejak 24 Mei lalu.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian bersama 13 individu lain serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) bagi laluan Trans Spencer Chapman yang bermula pada jam 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.
Artikel lain: SAR Jaslinda: Sukarelawan Orang Asli Sertai Operasi, Bantu Pasukan Penyelamat Cari Mangsa
Difahamkan, Jaslinda bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan sebelum berhenti daripada meneruskan pendakian.
Bagaimanapun, Jaslinda kemudian dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi, 24 Mei.
Sumber: Berita Harian (Muhamad Lokman Khairi)







































