Seorang daripada tiga pekerja pelantar minyak yang maut dalam insiden bot penyelamat (lifeboat) terjatuh ke laut di Platform Sepat, perairan Terengganu-Kelantan, dikenal pasti sebagai penderma darah setia di Hospital Melaka.
Allahyarham Ahmad Fiqri Zakaria dilaporkan aktif melakukan pendermaan darah di Bank Darah Melaka, dengan rekod terakhir pendermaan beliau pada 15 Mei lalu di Pusat Pendermaan Darah Hospital Melaka, menurut Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka.
Menerusi hantaran di media sosial pada Isnin, jabatan berkenaan menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan Allahyarham yang disifatkan sentiasa komited membantu pesakit melalui sumbangan darah.
“Jasa dan pengorbanan Allahyarham amat dihargai dan akan sentiasa dikenang. Semoga roh semua mangsa dicucuri rahmat dan ahli keluarga diberi kekuatan serta ketabahan,” menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari Ahad, Ahmad Fiqri bersama dua lagi rakan sekerja dilaporkan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas lifeboat yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kesemua mangsa merupakan warga tempatan yang ketika itu sedang menaiki bot berkenaan untuk turun ke laut.
Siasatan awal mendapati insiden dipercayai berlaku apabila tali atau cangkuk (hook) pada lifeboat tersebut tiba-tiba tercabut, menyebabkan bot bersama kesemua mangsa terjatuh ke laut.
Operasi lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.









































