Kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan sementara semua pendaftaran pelarian bagi memberi laluan kepada penyusunan semula sistem pengurusan menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Supaya pengurusan pendaftaran pelarian lebih teratur
Memetik laporan daripada BernamaTimbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni menyatakan, keputusan itu dibuat oleh Kabinet bagi memastikan pengurusan serta pendaftaran pelarian di Malaysia dapat dilaksanakan secara lebih teratur di bawah kawal selia kerajaan.
“Kita telah melalui keputusan Kabinet, mengarahkan UNHCR menghentikan sebarang pendaftaran pelarian buat masa ini kerana kita sedang menyusun semula pelaksanaan program DPP.
“Melalui DPP, kerajaan dapat mengurus data dengan lebih tersusun termasuk bagi tujuan penyelarasan data, pengesahan identiti, pemantauan dan kawal selia tanpa bergantung kepada rekod mana-mana entiti asing,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail di Dewan Negara hari ini.
Dapat halang kemasukan PATI
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai langkah kerajaan menangani isu pelarian Rohingya yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau kerakyatan yang diiktiraf oleh negara asal mereka, Myanmar.
Menurut Lukanisman, pendaftaran di bawah DPP akan dilaksanakan menerusi proses saringan yang lebih ketat dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa bagi memastikan hanya individu yang layak didaftarkan, selain menghalang kemasukan pendatang tanpa izin pada masa hadapan.
Dalam masa sama, Malaysia akan terus menggunakan pendekatan diplomatik bersama Myanmar dan negara anggota ASEAN bagi mencari penyelesaian lebih menyeluruh terhadap isu pelarian Rohingya.
Beliau menegaskan langkah itu penting memandangkan Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 serta perlu mengambil kira kesan terhadap masyarakat tempatan.
Sementara itu, Lukanisman memaklumkan kira-kira 5,000 warga Myanmar yang kini ditempatkan di depot tahanan imigresen akan dihantar pulang selepas kerajaan Myanmar bersetuju menerima mereka semula menggunakan kapal tentera laut, tertakluk kepada proses penyelesaian.









































