Seorang guru wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 2.2 Jalan Sri Menanti–Parit Sikom, Pontian petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Jamaliah Aris, 37, yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mohd Yunos Sulaiman mengalami kecederaan parah selepas kereta jenis Toyota Vios dipandunya bertembung dengan sebuah lori Isuzu.

Foto: Media sosial
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa keluar dari simpang Parit Basilam sebelum bertembung dengan lori berkenaan.
“Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Pontian untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat selepas hampir lima jam bertarung nyawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto: Media sosial
Menurut beliau, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil saringan awal air kencing terhadap pemandu lori mendapati keputusan adalah negatif.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang lima tahun,” ujarnya.

Foto: Media sosial
Dalam pada itu, Hadzrat Hussein menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Pejabat Trafik IPD Pontian atau menghubungi Insp. Tong Siew Fen di talian 010-2090396 bagi membantu siasatan.
Sumber: Facebook Polis Daerah Pontian







































