Lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari petai di kebun Bukit Kampung Gemuruh, di sini, sejak Ahad lalu, ditemukan meninggal dunia pada Rabu.
Mangsa, Mohd Tarmizi Alias, 44, ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di bawah pokok duku, kira-kira satu kilometer dari lokasi motosikalnya ditinggalkan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih 24 jam sebelum ditemukan.
“Turut ditemui di sisinya beberapa tangkai petai. Kematiannya diklasifikasikan mati mengejut,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA), di sini, bagi menjalani proses bedah siasat.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Baharum Mohamad Hashim berkata, mangsa ditemukan oleh penduduk kampung sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Menurutnya, proses membawa keluar mangsa berdepan cabaran berikutan lokasi penemuan yang berada di kawasan berbukit.
“Kita mengambil masa lebih 40 minit untuk menurunkan mangsa dari bukit berketinggian 400 meter dari aras laut,” ujarnya.
Beliau berkata, pasukan SAR berjaya tiba di kaki bukit pada jam 6.15 petang sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, adik mangsa, Noor Suriati, 35, meluahkan rasa syukur selepas abangnya ditemukan walaupun dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
Katanya, sepanjang tempoh kehilangan itu, keluarganya sentiasa bimbang memikirkan keadaan Mohd Tarmizi, terutama ibu mereka, Aminah Awang, 61.
“Walaupun sedih, kami tetap reda,” katanya.
Artikel lain: 2 Remaja Ditemui Meninggal Dunia Di Flat Terbiar, Polis Minta Orang Ramai Henti Spekulasi
Noor Suriati turut memaklumkan arwah abangnya bekerja mengambil upah memanjat pokok petai serta mengutip durian di kebun sekitar kawasan berkenaan.
Dalam kejadian Ahad lalu, Mohd Tarmizi dilaporkan keluar bersendirian ke kebun buah-buahan di Bukit Kampung Gemuruh.
Dia dipercayai meninggalkan rumahnya di Kampung Petaling, Tepoh kira-kira jam 10.30 pagi dengan menaiki motosikal tanpa membawa telefon bimbit.
Sumber: Harian Metro (Zaid Salim)






































