Pulau Pinang terus mencuri tumpuan apabila diiktiraf sebagai negeri terbaik untuk didiami di Malaysia, sekali gus mencerminkan perkembangan positif dari segi pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Memetik laporan daripada Kosmo! Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib menzahirkan rasa puas hati terhadap pelaksanaan pembangunan negeri yang disifatkan berada pada landasan teratur dan konsisten.
Menerusi ucapan pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15, beliau berkata pengiktirafan itu berdasarkan pelbagai indikator utama termasuk kualiti hidup, kos sara hidup, kesejahteraan rakyat dan infrastruktur oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Sejajar dengan pelbagai inisiatif, program dan pencapaian yang telah dibentangkan, saya berpuas hati bahawa usaha-usaha pembangunan negeri yang dilaksanakan berada pada landasan yang teratur dan berterusan.
“DOSM bagi tahun 2026 telah meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri terbaik untuk didiami secara keseluruhan.
“Pengiktirafan ini mencerminkan keseimbangan yang berjaya dicapai antara pertumbuhan ekonomi, kemudahan awam, kualiti persekitaran hidup serta daya tarikan kepada pelabur dan komuniti,” katanya.
Tun Ramli turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta barisan kepimpinan negeri atas usaha berterusan dalam memastikan pembangunan negeri terus berdaya saing.
“Usaha yang digerakkan ini jelas memperlihatkan kepimpinan yang berwawasan dalam memastikan Pulau Pinang terus kekal berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Saya turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, penjawat awam negeri dan Persekutuan di Pulau Pinang, termasuk pihak berkuasa tempatan, anggota polis, angkatan tentera dan semua yang menjaga keamanan dan ketenteraman negara.
“Segala usaha ini menjadi tunjang kepada kelancaran pelaksanaan dasar serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di negeri tercinta ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sedang melaksanakan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan.
Antara pencapaian yang dibanggakan termasuk kejayaan mempercepatkan proses pengeluaran kad nikah secara digital daripada 30 hari kepada hanya satu hari, selain penjimatan kos pematuhan yang ketara
Sumber: Kosmo! (Noor Hasliza Nusi)






































