Hampir dua tahun selepas tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India, keluarga mendiang G Vijaya Lakshmi bercadang menuntut pampasan sebanyak RM800,000 daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dakwaan berlaku kecuaian
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Peguam keluarga mangsa, M Partiben menyatakan tuntutan itu dibuat susulan dakwaan berlaku kecuaian dalam aspek penyelenggaraan dan keselamatan sehingga mengorbankan wanita warga India tersebut.
Menurutnya, jumlah pampasan itu dirujuk berdasarkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini yang mengarahkan DBKL membayar ganti rugi lebih RM824,000 dalam kes kematian akibat dihempap pokok tumbang.
Jumlah pampasan belum dimuktamatkan
Katanya, keluarga mangsa berpandangan terdapat unsur kecuaian dalam insiden tersebut termasuk kemungkinan melibatkan gangguan utiliti bawah tanah, faktor geologi dan kerosakan paip pembetung.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan jumlah pampasan itu masih belum dimuktamadkan kerana bergantung kepada hasil rundingan bersama pihak berkaitan.
Menurutnya, keluarga berharap rundingan dapat disegerakan memandangkan waris perlu kembali ke India bagi menguruskan urusan bank dan dokumentasi rasmi selepas menerima sijil kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Rabu.
“Seorang waris yang bekerja sebagai buruh di India juga kehilangan pekerjaan kerana perlu berulang-alik ke Malaysia bagi menguruskan dokumentasi dan proses berkaitan kematian mangsa.
“Selain itu, keluarga juga perlu menjaga bapa yang mempunyai komplikasi kesihatan termasuk penyakit jantung,” katanya yang hadir bersama anak tunggal mangsa, M Surya.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi berkata, cadangan pampasan itu mengambil kira faktor usia, pekerjaan serta tanggungan keluarga mangsa.
Beliau berkata, keluarga tidak menolak kemungkinan membawa perkara itu ke mahkamah sekiranya rundingan pampasan gagal mencapai persetujuan.
Dalam kejadian pada 23 Ogos 2024, Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India ketika berjalan di kawasan itu sebelum hilang dibawa arus bawah tanah.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama sembilan hari bagaimanapun gagal menemukan mangsa sebelum ditamatkan pihak berkuasa.
Sumber: Sinar Harian (Noor Azlina Alimin)







































