Seorang murid lelaki Tahun 5 sebuah sekolah rendah di Batu Berendam, Melaka cedera dipercayai terjatuh dari koridor sekolah ketika cuba mengambil kasut rakannya yang dilempar ke atas bumbung laluan pejalan kaki, semalam.
Hilang imbangan dan terjatuh
Memetik laporan daripada Harian Metro, mangsa dikatakan memanjat bahagian koridor sebelum dipercayai hilang imbangan lalu terjatuh dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu.
Ambil kasut rakan yang dibaling ke bumbung
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Rahmad Mariman menyatakan, beliau dimaklumkan kejadian berpunca daripada tindakan murid itu sendiri dan bukan disebabkan faktor lain.
“Murid terbabit dikatakan mengambil kasut sekolah rakan sebelum membalingnya ke atas bumbung.
“Bila rakannya marah, dia panjat bumbung di bahagian garaj kereta guru untuk mengambil kasut berkenaan.
“Selepas mengambil kasut, mangsa dikatakan cuba memanjat tembok koridor namun dipercayai tergelincir dan jatuh,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, murid terbabit sudah menerima rawatan dan hanya mengalami luka ringan.
Terdahulu, tular gambar di WhatsApp memaparkan sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia berada di sekolah berkenaan bersama keterangan mengenai seorang murid Tahun 5 yang dilaporkan terjatuh dari koridor sekolah.
Sumber: Harian Metro (Meor Riduwan Meor Ahmad)







































