Jaguh Muay Thai negara, Aliff Rakib mencipta sejarah apabila muncul rakyat Malaysia pertama merangkul gelaran dunia ONE Championship selepas menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao pada acara ONE: The Inner Circle 23 di Stadium Lumpinee, Bangkok.
Tamatkan pusingan kelima dengan knockout
Memetik laporan daripada Astro Awani, atlet berusia 22 tahun yang lebih dikenali sebagai Aliff Sor Dechapan itu menamatkan pertarungan menerusi knockout pada pusingan kelima sekali gus merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight.
Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan Malaysia gelaran dunia pertama dalam sejarah ONE Championship, malah mengukuhkan kedudukan Aliff sebagai antara bintang baharu paling menyerlah dalam sukan Muay Thai dunia.
Kejayaan jadi punca pengorbanan
Kejayaan tersebut menjadi kemuncak pengorbanannya yang meninggalkan tanah air untuk berlatih di Bangkok bersama kem terkenal Sor Dechapan demi mengejar impian bergelar juara dunia.
Sebelum ini, Aliff mencipta nama menerusi siri ONE Friday Fights sebelum menerima kontrak bernilai AS$100,000 bersama senarai utama ONE Championship.
Rentetan kemenangan ke atas beberapa pencabar ternama melayakkannya merebut gelaran dunia sementara yang akhirnya berjaya dimiliki menerusi kemenangan bersejarah ke atas Sam-A.
Dengan kejayaan itu, Aliff dijangka bakal berdepan juara dunia strawweight Muay Thai, Prajanchai PK Saenchai dalam aksi penyatuan gelaran sebaik lawannya itu pulih daripada kecederaan.
Sebelum pertarungan berlangsung, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan sokongan kepada Aliff dan menggesa rakyat Malaysia memberikan sokongan penuh kepada wakil negara itu dalam usahanya memburu kejuaraan dunia.
Kejayaan Aliff malam ini bukan sekadar memenuhi impiannya bergelar juara dunia, malah turut mengukir satu lagi detik bersejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama menjuarai gelaran dunia ONE Championship.
Sumber: Astro Awani (Haider Yutim)







































