Seekor harimau jantan dilaporkan ditemui mati selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan di Kilometer 50.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah Kuala Lumpur, dekat Lentang, Bentong, awal pagi ini.
Menurut satu laporan Berita Harian, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang Rozidan Md Yasin berkata, harimau yang dianggarkan seberat 130 kilogram (kg) berkenaan dilanggar sebuah Proton Persona ketika cuba melintas lebuh raya pada 1.23 pagi.
Foto: Media sosial
“Selepas menerima aduan penemuan bangkai harimau belang itu, pegawai PERHILITAN segera ke lokasi untuk melakukan siasatan. Bangkai dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut.
“Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian dan kecederaan yang dialami harimau ini,” katanya.
Beliau berkata, Hutan Simpan Bukit Tinggi berhampiran lokasi kejadian merupakan antara kawasan yang menjadi tempat habitat liar dan masih ada harimau belang mendiami kawasan itu.
Foto: Media sosial
“Kemalangan itu amat mendukacitakan kerana bilangan harimau belang di negara ini semakin berkurangan,” ujarnya.
Rozidan turut memberitahu bahawa harimau tersebut dianggarkan berumur lingkungan empat tahun berdasarkan daripada saiz tubuh dan tapak kakinya.
https://www.facebook.com/animalmalaysia/posts/pfbid025R8KoRgK9AMJ6jiUf5oDuGLxE5Y6Wd3euyr9BEdYcREvSXA5igNyrFR434Y4DyKFl?__cft__[0]=AZVOKIyJDiLtt46sS7fHzb31BpGlyBNdPifL3w97MhF-UffjC1SaDqV1oyamxbSx702k-98Nug8aPNZx3KUFDuqW8T9cmGNzrFGUc8-VaC2N2HxYVSgy3y0klRC5v_oAnPwgpVBytlI9bT0xIJTsZ6MV_XuQ0CQjWfxB8_TsA9GdsAJRbylFWEUIZnmZrJNKcwtSciS6x_gpuBaTd_2rU-j2&__tn__=%2CO%2CP-R
Untuk makluman, tular di media sosial berhubung penemuan mayat harimau berkenaan di kawasan lebuh raya terbabit sejak awal pagi tadi.
Sumber: Berita Harian (Mohd Rafi Mamat)