Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar utama sekolahnya ketika sedang menunggu ibunya pulang, dalam kejadian menyayat hati semalam.
Mangsa, Nur Aini Umairah, murid Tahun Dua, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam kejadian itu.
Bapanya, Ahmad Fareez Khalid, 39, bagaimanapun memaafkan pemandu van terbabit dan menerima ketentuan Ilahi atas kehilangan anak sulung daripada dua beradik itu.
“Kepada pakcik (pemandu van) yang melanggar anak saya, tidak mengapa, saya sudah memaafkannya,” katanya.
Menurut Ahmad Fareez, dia reda dengan apa yang berlaku dan menganggap kejadian itu sebagai ketentuan yang sudah ditetapkan.
“Sesuatu yang berlaku sudah tentu ada ketetapan, jadi kalau kita hendak menyalahkan seseorang pun tak boleh juga, …siapa nak bunuh orang?
“Untuk pakcik melanggar anak saya, saya sudah memaafkannya. Saya reda kerana setiap yang hidup ini sudah ada ketetapan dari Ilahi,” katanya, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut merayu orang ramai agar tidak menyalahkan pemandu van berkenaan kerana kejadian tersebut berlaku di luar jangkaan.
“Permintaan saya ialah janganlah marah pada pakcik itu. Kalau kami sebagai ibu bapa sudah reda, takkan nak marah dia lagi, …kasihanilah pakcik itu,” katanya.
Mengulas mengenai anaknya, Ahmad Fareez berkata Nur Aini Umairah seorang kanak-kanak yang baik dan ceria, selain gemar bersolek.
“Tapi apabila sampai satu tahap ini (kehilangan), ibu bapa pasti sedih. Kami ‘lepaskan’ Nur Aini Umairah dengan tenang, mudah-mudahan Allah SWT merahmatinya.
“Arwah gemar bersolek, kadang-kadang dia tengok YouTube dan dia tiru cara solekan. Kali terakhir arwah solek saya ketika kami membawanya berjalan-jalan ke Melaka minggu lalu.
“Itulah kali terakhir dan selepas ini, segala-galanya akan menjadi kenangan,” katanya yang cuba menahan sebak.
Sumber: BH Online (Alias Abd Rani)










































