Connect with us

Inspirasi

Kerajaan Negeri Mahu Jadikan Pavithra Sebagai Ikon Wanita & Masakan

Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Perak bercadang untuk menjadikan YouTuber popular, S Pavithra sebagai Ikon Wanita dan Masakan Perak atas kemahiran memasak yang dimiliki sehingga berjaya mengembangkan minatnya.

Menerusi laporan Sinar Harian, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri tersebut Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, wanita berusia 28 tahun itu layak dijadikan sebagai inspirasi kepada wanita di luar sana.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita berasa bangga ada anak Perak yang boleh mencetuskan idea daripada ‘zero’ kepada ‘something’ hanya menggunakan kepandaiannya memasak dan peralatan dimiliki di rumah sahaja.
“Di situ kita dapat lihat kecekalannya dan dengan sokongan suami serta keluarga, dia mampu mencetuskan sensasi hingga berada dekat di hati rakyat, individu seperti ini patut dijadikan contoh bahawa tidak kira kita berada di mana pun, jika ada minat, usaha dan kemahuan pasti boleh berjaya,” katanya.

Menurut Wan Norashikin, ibu kepada dua cahaya mata itu akan menjadi tetamu bagi sebuah program baru di bawah jabatan tersebut bagi memperkenalkan bakat-bakat wanita menerusi media sosial tidak lama lagi.

Tambah beliau, Pavithra yang bersetuju dan gembira dengan tawaran tersebut akan memasak gulai tempoyak yang menjadi salah satu menu ikon di negeri Darul Ridzuan itu.

“Kita sedang mendapatkan tarikh dan lokasi bersesuaian bagi tujuan itu. Selain mengetengahkan beliau sebagai ikon wanita, kita juga dapat mempromosikan masakan Perak,” ujarnya.

Untuk makluman, Pavithra dan suaminya M Sugu menghasilkan video masakan sebelum dikongsi menerusi saluran YouTube mereka ‘Sugu Pavithra’ yang kini sudah mempunyai 635,000 pengikut.

Sumber : Normawati Adnan (Sinar Harian)

Continue Reading
Advertisement

Trending